.COMEL…Paling mencuri tumpuan, kumpulan tarian dari Tadika Bodhi yang berjaya meraih juara pada tarian kategori A.

KUCHING: Seramai 570 kanak-kanak Tadika dan Taska seluruh Sarawak menyertai acara Showcase Sarawak Preschool Kids Got Talent (SPKGT) edisi ke-5 tahun 2022.

Sebanyak 18 kategori pertandingan diketengahkan sepanjang acara berlangsung bagi mencungkil bakat dan mengetengah potensi golongan kanak-kanak.

Majlis penyampaian hadiah bermula dengan persembahan kesemua pemenang bagi 18 kategori dipertandingkan semasa SPKGT yang telah berlangsung pada 25 April sehingga 15 Ogos 2022.

Bermula dengan persembahan pengucapan awam, kategori Bahasa Melayu dimenangi oleh Zayn Al Hazle Rosli Eduet dari Tadika Sedidik Balingian, diikuti Yara Alayna Yasser Arafat dari Tadika Tahfiz Tun Abdul Rahman Yaakub pemenang kategori Bahasa Inggeris; Jayden Tay Liang You dari Tadika Bodhi pemenang kategori Bahasa Mandarin dan Elleanor Eloane Phill Rynner dari Tabika Perpaduan Taman Samarindah Fasa 2 pemenang kategori Bahasa Iban.

Sementara itu, persembahan pemenang kategori bercerita dimulai oleh pemenang Bahasa Melayu, Asheeqa Nazeera Herwan dari SJK Chung Hua Kranji, diikuti Gwendalyn Jong Wan Xuan pemenang Bahasa Inggeris, Tay Liang Rui (Bahasa Mandarin), dan Claysyia Mayang Maxson Noel sebagai pemenang Bahasa Iban.

Seterusnya kategori nyanyian solo dimulai pemenang kategori A, Tan Yen Sing dari Tadika Bolhi; kategori B dimenangi Rhys Evans Gau Ricky dari Tadika Cahaya Matahari V.

Bagi kategori tarian yang mempunyai dua kategori (A dan B) masing-masing diungguli wakil dari Tadika Bodhi.

Manakala dua wakil dari SJK (C) Wah Man iaitu Sharon Wong Sie Yu dan Shirley Wong Sie Ying masing-masing memenangi kategori melukis dan mewarna.

Kategori lain iaitu mewarna dimenangi Chong Jing Rou dari Tadika Bodhi; kategori kreativiti dan inovasi dimenangi Evan Tay Yi Min dari Tadika Bodhi; diikuti kategori Special Talent diungguli Baxster Jugah Felessia dari Prasekolah SK Desa Lavang dan anugerah Khas Juri dimenangi oleh Hayden Sim Siang Hung dari Tadika Bodhi.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dsn Kanak-Kanak Sarawak, Datuk Rosey Yunus berkata, bakat anak-anak kecil yang telah dibuktikan sepanjang pertandingan harus diasah dan digilap agar mampu diangkat ke peringkat yang lebih tinggi.

“Usaha merangsang dan menggalakan kecerdasan mereka perlu dalam sesuatu bidang berdasarkan minat dan bukannya mengikut dasar disukai ibu bapa mahupun pendidik.

“Ibu bapa dan pendidik bertanggungjawab mengenal pasti kecenderungan serta kelebihan yang ada pada setiap anak melalui pemerhatian berterusan,” katanya ketika berucap pada majlis penangguhan program di Hotel Waterfront bagi mewakili Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Tegasnya, kerajaan Sarawak komited memastikan pembangunan awal kanak-kanak berkualiti selaras dengan aspirasi untuk mencapai Sarawak maju menjelang tahun 2030.

.JUARA…Para pemenang merakamkan gambar kenang-kenangan bersama-sama Datuk Rosey Yunus (tengah).

Suara Sarawak