SIMBOLIK… Kadim serta tetamu kehormat yang lain menyempurnakan program menanam pokok sempena Projek Tanaman Pokok Bersama JMA.

KOTA SAMARAHAN: Hutan Pendidikan Takasago-Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) akan memudahkan pelajar khususnya dari Fakulti Sains dan Teknologi Sumber (FSTS) menjalankan penyelidikan di dalam kampus.

Naib Canselor Unimas Profesor Datuk Dr Mohamad Kadim Suaidi berkata, ia juga memberi peluang dan ruang kepada para pelajar untuk lebih mengenali spesies pokok yang ada di hutan Sarawak tanpa perlu masuk ke hutan dan sebagainya.

“Ini kerana pemilihan pokok untuk ditanam bagi projek Hutan Pendidikan Takasago-Unimas ini adalah jenis asli dari hutan Sarawak.

“Kita bukan menanam sejenis pokok sahaja tetapi pelbagai jenis termasuk pokok belian, gaharu dan banyak lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Projek Tanaman Pokok Bersama Persatuan Jepun-Malaysia (JMA) di Sebelah Bulatan Perpustakaan Tun Abdul Rahman Ya’kub (Petary) Unimas, di sini, hari ini.

Tambahnya, program menanam pokok itu juga sudah dimulakan pada 2018 dan sehingga kini sudah berjaya menanam kira-kira 20,000, berjaya mencapai sasaran.

“Kita berhasrat untuk menanam kira-kira 20,000 hingga 25,000 pokok di kampus sebagai usaha untuk mewujudkan Hutan Pendidikan Takasago-Unimas yang lebih baik,” katanya.

Hadir sama Pengarah Urusan Takasago Thermal Engineering (Malaysia) Tadashi Sato; Wakil JMA Profesor Dr Hamsawi Sani dan Kazue Sakai; Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi Unimas Profesor Dr Wan Hashim Wan Ibrahim; Pensyarah Fakulti FSTS Profesor Madya Dr Mohd Effendi Wasli serta wakil yang lain.

KADIM bercakap kepada pemberita ketika ditemui selepas menghadiri Projek Tanaman Pokok Bersama JMA di Sebelah Bulatan Perpustakaan Tun Abdul Rahman Ya’kub (Petary) Unimas, di sini, hari ini.

 

RAKAMAN KENANGAN… Kadim merakam gambar kenangan bersama-sama tetamu kehormat dan para pelajar selepas menghadiri Projek Tanaman Pokok Bersama JMA.

Suara Sarawak