MIRI: Kerajaan Sarawak akan terus menggalakkan dan menyokong penganjuran sukan antarabangsa serta tempatan dalam usaha mempromosikan negeri ini sebagai destinasi pelancongan sukan.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, ia dalam masa yang sama memberi ruang kepada bakat tempatan mendapat pendedahan terbaik.

“Kerajaan Sarawak melalui Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan (MTCP) telah menyokong penganjuran banyak sukan antarabangsa di pelbagai bahagian negeri ini yang memberi impak positif termasuk menarik kedatangan pelancong,” katanya.

SERAH…Presiden SGA2017, Hoan Kee Hock (kanan) menyampaikan cenderahati kepada Datuk Sebastian Ting (tengah).

Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibaca oleh Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan (MTCP), Datuk Sebastian Ting pada Majlis Makan Malam Kejohanan Golf Remaja Antarabangsa Sarawak Ke-22, Piala Premier Sarawak 2022 di Miri pada Isnin.

Sementara itu, Presiden Persatuan Golf Sarawak (SGA), Hoan Kee Hock dalam ucapan alu-aluannya merakamkan ucapan terima kasih kepada Kerajaan Sarawak atas sokongan diberikan untuk penganjuran berprestij itu.

Menurut beliau, walaupun telah berehat selama dua tahun, tetapi sambutan diberikan begitu menggalakkan dengan penyertaan pemain dari luar negara yang turut hadir bersama keluarga masing-masing.

Seramai 58 pemain lelaki dan 46 pemain perempuan dari lapan negara berbeza bertanding dalam kejohanan kali ini.

Suara Sarawak