Gambar fail

KUCHING: Sebanyak 365,686 kertas undi pos telah dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) bagi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya.

Setiausaha SPR, Dato Indera Ikmalrudin Ishak dalam kenyataannya berkata ia dikeluarkan kepada individu yang layak dan berhak untuk mengundi secara pos seperti yang diperuntukkan di bawah Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pengundian Pos) 2003.

Katanya, pengeluaran kertas undi pos tersebut telah bermula pada 7 November 2022 oleh Petugas Pilihan Raya di kesemua 222 kawasan Parlimen dan 117 Dewan Undangan Negeri dan Dewan Negeri.

“Daripada jumlah keseluruhan kertas undi pos tersebut, 299,097 adalah kategori Borang 1A iaitu Petugas Pilihan Raya, ahli atau pegawai SPR, anggota polis dan tentera, serta petugas media.

“Manakala, sebanyak 48,109 undi pos bagi kategori Borang 1B iaitu warganegara Malaysia yang berada di luar negara, 15,739 kategori Borang 1C (Agensi dan Organisasi) serta 2,741 Pengundi Tidak Hadir (PTH) Luar Negara,” katanya.

Jelas beliau, proses pengeluaran kertas undi pos ini dijalankan dengan kehadiran ejen undi pos daripada semua calon yang bertanding.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan kepada semua pengundi pos supaya membuat penandaan pada kertas undi, mengisi dengan lengkap dan betul borang Pengisytiharan Identiti (Borang 2) serta segera mengembalikannya kepada Pegawai Pengurus berkenaan sebelum jam 5 petang pada Hari Mengundi iaitu pada 19 November 2022 (Sabtu).

Pengundi juga diingatkan agar sentiasa menjaga kerahsiaan undi masing-masing dengan tidak merakam gambar kertas undi pos dan menularkannya di laman media sosial.

Suara Sarawak