KUCHING: Polis Sarawak telah meluluskan sebanyak 59 permit ceramah dan kempen di seluruh negeri Sarawak, semalam.

Jurucakap Media Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) Sarawak Superintendan Douglas Nyeging Taong berkata, secara keseluruhannya, situasi keselamatan di Sarawak terkawal dan tiada sebarang insiden tidak diingini berlaku sejak hari penamaan calon sehingga hari ini.

Justeru katanya, polis Sarawak menasihatkan supaya semua parti politik dan kumpulan penyokong tidak menimbulkan isu-isu sensitif yang boleh menyebabkan rasa tidak puas hati mana-mana pihak semasa berkempen.

“Berkempenlah secara berhemah dan patuhilah undang-undang yang telah ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, sekiranya berlaku sebarang permasalahan, mana-mana pihak dinasihatkan merujuk terus kepada Polis Kontinjen Sarawak atau Ibu Pejabat Polis yang berdekatan untuk tindakan selanjutnya.

Untuk rekod, PRU-15 menyaksikan seramai 1,943,074 orang pengundi berdaftar di Sarawak layak menunaikan kewajipan pada 19 November nanti.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan hari mengundi awal pada Selasa, 15 November dan hari pengundian pada Sabtu, 19 November.

Sementara, hari penamaan calon yang berlangsung pada Sabtu lalu menyaksikan seramai 92 calon bertanding di 31 kerusi Parlimen seluruh Sarawak.

Suara Sarawak