KUCHING: Polis Kontinjen Sarawak membahagikan penugasan kepada lima fasa dalam memastikan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) di negeri ini berjalan dengan lancar.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata, fasa pertama iaitu hari penamaan calon akan membabitkan penugasan seramai 3,667 pegawai dan anggota.

SEMANGAT…Azman (kiri) memberi kata-kata semangat kepada Pegawai Kanan Polis sempena Pelepasan Bantuan Sumber Manusia (BSM) Pegawai Kanan Polis Sempena PRU-15, di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Sarawak.

Sementara katanya, fasa kedua, tempoh berkempen iaitu 5 hingga 18 November membabitkan penugasan seramai 2,979 pegawai dan anggota.

“Fasa ketiga semasa hari mengundi awal pada 15 November, penugasan kita melibatkan 3,417 pegawai dan anggota.

Azman melepas barisan pegawai kanan polis sempena Pelepasan Bantuan Sumber Manusia (BSM) Pegawai Kanan Polis Sempena PRU-15, di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Sarawak.

“Pada fasa empat, hari mengundi pada 19 November, kekuatan seramai 7,701 (78.38 peratus) dari keseluruhan kekuatan PDRM Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Flag Off Pelepasan Bantuan Sumber Manusia (BSM) Pegawai Kanan Polis Sempena PRU-15, di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Sarawak, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Azman mengingatkan parti politik dan calon yang bertanding supaya tidak menimbulkan isu-isu provokasi atau mengganggu-gugat ketenteraman awam.

Beliau memberi jaminan, Polis Sarawak akan sentiasa menjalankan amalan dan tugas untuk memastikan PRU-15 di Sarawak berjalan dengan lancar.

Suara Sarawak