Datuk Mohd Azman (dua kanan) memantau proses mengundi awal polis kontinjen Sarawak, hari ini.

KUCHING: Hari mengundi awal Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) bagi Polis Diraja Malaysia (PDRM) kontinjen Sarawak berjalan lancar bermula 8 pagi hari ini.

Pengundian awal yang termaktub di bawah Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002 itu melibatkan seramai 8,050 anggota bersamaan 82 peratus daripada jumlah kekuatan kontinjen di Sarawak.

Menurut Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohd Azman Ahmad, jumlah itu melibatkan pegawai kanan, pegawai rendah polis termasuk pasangan pegawai kanan dan pegawai rendah polis Pasukan Gerakan Am (PGA) seramai 412 orang.

“Sebanyak 55 pusat dan 103 saluran telah diwartakan sebagai pusat pengundian awal PDRM Sarawak merangkumi dewan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) dan Ibu Pejabat Daerah (IPD), rumah-rumah persatuan keluarga polis di IPD (Perkep), bangunan pejabat, pusat-pusat sumber, bilik rekreasi, bilik mesyuarat, surau dan juga di sekolah rendah.

“Dewan Mes Pegawai Kanan IPK Sarawak yang menjadi pusat mengundi bagi kerusi Parlimen Petra Jaya akan menyaksikan 830 pegawai kanan, pegawai rendah dan pasangan membuang undi.

“Setakat jam 8.42 pagi ini, sekitar 82 orang telah menunaikan tanggungjawab,” katanya pada sidang media selepas memantau proses pengundian awal di Mes Pegawai Kanan iPK Sarawak, hari ini.

Tambahnya, proses pengundian awal dijangka berlangsung sehingga jam 5 petang ini.

Sementara bagi undian pos melibatkan PDRM Sarawak, katanya sebanyak 1,821 orang terlibat dengan proses mengundi tersebut telah bermula sejak 5 November lalu.

Dalam pada itu, Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mancha Ata dan Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Komuniti (JPJKK) Sarawak SAC Lukas Aket membuang undi di pusat tersebut pada 8.35 pagi tadi.

Turut hadir calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) Parlimen Petra Jaya Datuk Seri Fadillah Yusof yang meluangkan masa melawat, beramah mesra dan memantau proses pengundian awal di IPK Sarawak itu sekitar jam 8.15 pagi.

Untuk rekod, seramai 92 calon bertanding pada PRU-15 di Sarawak bagi merebut sebanyak 31 kerusi Parlimen.

Anggota PDRM Sarawak yang menunaikan tanggungjawab mengundi awal di Mes Pegawai Kanan, IPK Sarawak, hari ini.

Suara Sarawak