SARATOK: Datuk Ali Biju akan bertanding untuk mempertahankan kerusi Parlimen Saratok pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) menggunakan logo Perikatan Nasional (PN).

Perkara tersebut diumumkan oleh Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin, malam tadi.

Dalam kenyataan selepas pengumuman tersebut, Ali, 58, mengakui berbesar hati menggunakan logo PN bagi mempertahankan kerusi yang dimenanginya pada 2018 dengan majoriti 989 undi.

Disebabkan situasi semasa katanya, keputusan pucuk pimpinan untuk beliau menggunakan logo PN dalam pilihan raya kali ini tidak timbul.

“PN merupakan sebahagian daripada Kerajaan Persekutuan yang berkerjasama dengan Gabungan Parti Sarawak (GPS) di peringkat Persekutuan.

“Selaku timbalan menteri dalam Kabinet Kerajaan Persekutuan, saya berasa amat bertuah dapat berbakti kepada negara dan rakyat,” katanya.

Pada Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN-12) lalu, bekas jurutera awam lulusan Valparaiso University itu mengambil keputusan menarik diri bertanding di kerusi Dun Krian pada saat akhir.

Setakat ini, selain Ali yang sudah mengesahkan bertanding di Parlimen Saratok, Parti Keadilan Rakyat (PKR) malam tadi turut mengumumkan calonnya iaitu Ibil Jaya Mundat.

Sementara GPS dijangka memuktamad, seterusnya mengumumkan calonnya pada esok, antara nama yang dicadangkan sebelum ini adalah daripada Parti Demokratik Progresif (PDP), Giendam Jonathan Tait, seorang ahli perniagaan.

Untuk rekod, Parlimen Saratok pernah diwakili oleh Datuk Seri Edmund Langgu Saga (1971-1986), Datuk Seri Peter Tinggom Kamarau (1986-2004), Jelaing Mersat (2014-2013) dan selepas itu Tan Sri Mawan Ikom.

Suara Sarawak