Abang Johari bersama-sama pemimpin-pemimpin GPS semasa mengumumkan calon-calon GPS bagi PRU-15 di ibu pejabat PBB, Kuching hari ini.

KUCHING: Gabungan Parti Sarawak (GPS) mempertaruhkan 14 muka baharu, dalam misi mencapai kemenangan besar daripada 31 kerusi yang ditandingi dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) pada 19 November ini.

Daripada kesemua muka baharu itu, dua daripadanya adalah wanita iaitu Rodiyah Sapiee dari Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dan Doris Sophia Brodi dari Parti Rakyat Sarawak (PRS) sekaligus menjadikan calon wanita GPS seramai lima orang.

Rodiyah diberi kepercayaan oleh Pengerusi GPS, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg mempertahankan Parlimen Batang Sadong, yang disandang oleh Datuk Seri Nancy Shukri.

Ia apabila Nancy dipindahkan untuk bertanding di Parlimen Santubong, setelah penyandang Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar menyatakan hasrat untuk bersara.

Manakala Doris diberi tanggungjawab untuk merampas semula Parlimen Sri Aman daripada penyandang Datuk Masir Kujat, yang bertindak keluar daripada PRS selepas memenangi kerusi itu pada PRU-14.

Selain itu, teka-teki bagi Parlimen Puncak Borneo juga terjawab apabila seperti diramalkan, Abang Johari yang juga Premier Sarawak mengekalkan Willie Mongin untuk mempertahankan kerusi yang dimenanginya menggunakan tiket Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada PRU-14, sebelum menyertai Bersatu dan PBB.

Dalam pada itu, GPS turut menurunkan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) iaitu ADUN Batu Kitang Lo Khere Chiang untuk merampas semula kerusi itu yang disandang pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan Pakatan Harapan (PH) Sarawak, Chong Chieng Jen.

Pada masa sama meletakkan semula ADUN Repok, Dato Sri Huang Tiong Sii di Parlimen Sarikei, meskipun pernah tewas kepada calon DAP, Wong Ling Biu pada PRU-14.

Manakala, Mohamad Shafizan Kepli menjadi ayam sabung PBB di Parlimen Batang Lupar, untuk menggantikan penyandang Datuk Seri Rohani Abdul Karim yang digugurkan.

Sementara, Richard Rapu juga dari PBB ditampilkan bagi menggantikan penyandang, Robert Lawson Chuat yang turut digugurkan.

Dalam pada itu, GPS turut mempertaruhkan Giendam Jonathan Tait dari PDP untuk merampas Parlimen Saratok daripada Datuk Ali Biju, yang akan bertanding mempertahankan kerusi itu menggunakan tiket rakan mesra GPS iaitu Bersatu / Perikatan Nasional (PN).

Selain Rodiyah, Doris, Willie, Khere Chiang, Mohamad Shafizan, Richard dan Giendam, muka-muka baharu yang lain ialah Lidang Disen (PDP) bagi Parlimen Mas Gading, Tay Sze Kok (SUPP) di Parlimen Bandar Kuching, Roy Angau Gingkoi (PRS) di Parlimen Lubok Antu, Wong Ching Yong (SUPP) di Parlimen Lanang, Clarence Ting Ing Horh (SUPP) di Parlimen Sibu, Edwin Banta (PRS) di Parlimen Selangau dan Jeffery Phang Siaw Foong (SUPP) di Parlimen Miri.

Pada masa sama, penyandang-penyandang yang dikekalkan ialah Datuk Seri Fadillah Yusof (PBB) di Parlimen Petra Jaya, Datuk Rubiah Wang (PBB) di Parlimen Kota Samarahan, Datuk Seri Richard Riot Jaem (SUPP) di Parlimen Serian, Yusuf Abd Wahab (PBB) di Parlimen Tanjung Manis dan Ahmad Johnie Zawawi (PBB) di Parlimen Igan.

Seterusnya Datuk Ago Dagang (PRS) di Parlimen Kanowit, Dato Hanifah Hajar Taib (PBB) di Parlimen Mukah, Dato Sri Alexander Nanta Linggi (PBB) di Parlimen Kapit, Datuk Ugak Kumbong (PRS) di Parlimen Hulu Rajang, Datuk Seri Tiong King Sing (PDP) di Parlimen Bintulu, Lukanisman Awang Sauni (PBB) di Parlimen Sibuti, Dato Anyi Ngau (PDP) di Parlimen Baram, Datuk Hasbi Habibollah (PBB) di Parlimen Limbang dan Dato Henry Sum (PBB) di Parlimen Lawas.

Malah, Presiden PRS Datuk Joseph Salang Gandum yang tewas di Parlimen Julau pada PRU-14 dicalonkan semula untuk merampas kerusi itu daripada penyandang, Larry Sng yang memenangi kerusi itu menggunakan tiket bebas.

Abang Johari ketika mengumumkan nama calon-calon GPS di ibu pejabat PBB, hari ini menyatakan kesemua calon yang dikemukakan itu adalah terdiri daripada mereka yang berpengalaman, berumur pertengahan dan orang muda.

“Sudah tentu, GPS mempunyai hala tuju di Sarawak ke arah 2030,” katanya.

Abang Johari bersama-sama pemimpin-pemimpin GPS semasa mengumumkan calon-calon GPS bagi PRU-15 di ibu pejabat PBB, Kuching hari ini.

Suara Sarawak