PAKAN: Meningkatkan kemudahan infrastruktur sedia ada dan menaik taraf jalur lebar menjadi agenda utama calon GPS Julau, Datuk Joseph Salang Gandum sekiranya beliau berjaya merampas semula kerusi bagi kawasan terbabit.

Jelas beliau, fokus utama berkenaan akan memastikan perhubungan masyarakat di kawasan berkenaan dengan dunia luar mencapai kapasiti setara dengan kawasan bandar lain.

“Justeru jika saya mampu merebut semula kerusi ini, saya mahu semua parti di Julau bersatu, sama-sama membina serta membangunkan kawasan ini untuk manfaat semua masyarakat,” ujar beliau ketika ditemui pada Majlis Bersama Rakyat di Dewan Masyarakat Pakan sebentar tadi.

DEMI RAKYAT…Datuk Joseph Salang Gandum (tengah) ketika menghadiri program bersama rakyat. – FOTO MOHD. ALIF NONI

Beliau menambah, seperti mana ditekankan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, kita kini berada dalam era digital sekali gus turut mengubah ekonomi sejagat.

Oleh itu katanya, perhubungan di kawasan luar bandar seperti di Julau penting untuk meningkatkan ekonomi penduduk setempat.

“Fokus utama kita adalah membina menara telekomunikasi supaya rangkaian internet di kawasan luar bandar dapat digunakan sepenuhnya,” tambah beliau.

Beliau turut mengakui kawasan terbabit agak jauh ketinggalan dari apa yang terdapat di kawasan bandar.

Oleh itu, beliau berazam untuk membawa apa juga yang terdapat di kawasan bandar ke kawasan luar bandar supaya rakyat dapat menikmati pembangunan sebagai mana dilalui  mereka yang tinggal di bandar.

Suara Sarawak