Sagah (empat kiri), Miro (dua kiri), Jerip (tiga kiri) dan Willie (lima kiri) hadir pada pelancaran jentera GPS Puncak Borneo di Dewan Kampung Sinjok.

SIBURAN: Jentera Gabungan Parti Sarawak (GPS) Puncak Borneo tidak boleh sambil lewa sebaliknya bekerja keras bagi menjamin kemenangan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) ini.

Naib Presiden Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Roland Sagah Wee Inn berkata, sokongan terhadap GPS sentiasa kuat di Puncak Borneo dan respons amat baik.

Bagaimanapun katanya, jentera GPS harus bekerja keras dalam kempen untuk menyakinkan pengundi mengundi GPS.

“Tidak boleh sambil lewa, jika tidak kerja keras rakyat tidak akan mengundi anda.

“Jadi kita kena kerja keras, pastikan semangat itu terus membara dan pada penghujung harinya kita akan berjaya,” katanya kepada media selepas menyempurnakan pelancaran jentera GPS di Dewan Kampung Sinjok, di sini hari ini.

Turut hadir, calon GPS Parlimen Puncak Borneo Datuk Willie Mongin, Adun Mambong Datuk Dr Jerip Susil dan Adun Serembu yang juga Ketua Pemuda PBB Miro Simuh.

Sagah sebelum itu pada majlis pelancaran itu berkata, jentera GPS harus aktif di lapangan dalam menyampaikan kempen kepada penduduk setempat.

Beliau yang juga Adun Tarat berkata, semua 31 kerusi yang ditandingi GPS adalah penting justeru jentera parti tidak seharusnya mempunyai pemikiran menyerah kalah.

Sementara, Miro berkata, jentera GPS di Serumbu, Mambong dan Tarat harus bekerjasama dan berganding bahu untuk memastikan Willie menang pada PRU-15 ini.

“Walaupun dahulu beliau (Willie) datang dari kem yang berlainan, lupakan perkara yang sudah-sudah.

“Sekarang kita tidak lihat kepada individu, jangan lihat kepada YB Miro, YB Datuk Roland mahupun calon Datuk Willie tetapi lihat kepada lambang GPS yang harus kita menangkan,” katanya.

Justeru Miro berkata, pilihan raya ini bukan berdasarkan kepada individu tetapi kepada kekuatan GPS itu sendiri dan mesej tersebut harus disampaikan kepada golongan akar umbi.

LAUTAN PUTIH…Penyokong GPS dari tiga Dun iaitu Serumbu, Mambong dan Tarat hadir pada majlis pelancaran jentera GPS Puncak Borneo di Dewan Kampung Sinjok.

Suara Sarawak