KUCHING: Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) Datuk Joseph Salang Gandum untuk kali kedua tewas di Parlimen Julau kepada Datuk Larry Sng dari Parti Bangsa Malaysia (PBM).

Salang yang mewakili Gabungan Parti Sarawak (GPS) berentap dalam saingan empat penjuru pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) di parlimen tersebut memperoleh 7,819 undi.

Larry yang juga Presiden PBM pula mendapat 9,159 undi dengan majoriti 1,340. Sementara itu, Susan George daripada Parti Bangsa Dayak Sarawak (PBDS) hanya memperoleh 335 undi, manakala Elly Lawai Ngalai calon Bebas mendapat 5,224 undi.

Dalam pada itu, Setiausaha Parti Sarawak Bersatu (PSB) Baru Bian tewas di Parlimen Lawas kepada Datuk Henry Sum Agong daripada GPS yang mendapat 11,361 undi serta majoriti 5,677.

Baru yang berpindah dari kerusi Parlimen Selangau itu hanya memperoleh 5,684 undi. Calon lain yang kalah di kerusi Lawas ialah Japar Suyut dari Pakatan Harapan (PH).

Sementara itu, Adun Batu Kitang Lo Khere Chiang yang mewakili GPS turut gagal merampas Parlimen Stampin daripada Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Chong Chieng Jen.

Chong memperoleh 39,310 undi dengan majoriti 7,158. Majoriti yang turun 7,063 berbanding PRU-14.

Lo pula mendapat 32,152 undi, manakala Lue Cheng Hing daripada Parti Sarawak Bersatu (PSB) hanya memperoleh 2,291 undi.

Nama besar lain yang turut kalah ialah Jugah Muyang calon Perikatan Nasional (PN) dengan hanya mendapat 5,360 undi. Kerusi Lubok Antu tersebut berjaya dirampas oleh calon GPS, Roy Angau Gingkoi dengan 6,644 undi serta majoriti 100.

Suara Sarawak