KUCHING: Polis Sarawak membuka lapan kertas siasatan dan menerima 14 laporan berkaitan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) pada semalam.

Jurucakap Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak Superintendan Douglas Nyeging Taong berkata, kertas siasatan membabitkan kad pengenalan milik pengadu digunakan untuk mengundi.

Katanya, satu laporan dibuat oleh seorang wanita di Julau kira-kira jam 8.40 ketika hendak mendaftar di pusat mengundi Rumah Genta Nanga Bilat.

“Satu laporan di Tamin dibuat oleh seorang lelaki kira-kira jam 11.15 pagi yang telah pergi ke pusat mengundi Rh Lanting, Nanga Ingu, Tamin untuk mengundi.

“Sementara, satu laporan dibuat oleh seorang lelaki kira-kira jam 1 petang bertempat di SK Garland, Jalan Arang semasa hendak mendaftar mengundi,” katanya.

Douglas berkata, pihak polis juga menerima laporan di Sibu oleh seorang lelaki yang hendak mengundi di SK Abang Ali, Sibu kira-kira jam 11.50 pagi.

Tambahnya, satu laporan turut dibuat di Sibu oleh seorang wanita kira-kira jam 2.30 petang ketika mengundi di SMK Bandar Sibu.

“Kita turut menerima laporan di Bau oleh seorang wanita kira-kira jam 10.40 pagi bertempat di tempat pembuangan undi di SJK Chung Hua Buso, Bau.

“Kesemua kertas siasatan yang di buka disiasat di bawah Seksyen 7 Akta Pilihan Raya 1954,” katanya.

Dalam pada itu katanya, polis Sarawak mendapati sepanjang tempoh pembuangan undi tiada sebarang perkara-perkara yang tidak dingini berlaku.

“PDRM Sarawak mengucapkan terima kasih atas kerjasama yang telah diberikan oleh semua pihak terlibat dalam memastikan kelancaran perjalanan PRU-15 pada kali ini,” ujarnya.

Suara Sarawak