PRU-15: PBK gesa DAP tarik diri bertanding di Sarawak

KUCHING: Parti Bumi Kenyalang (PBK) menggesa Parti Tindakan Demokratik (DAP) menarik diri daripada bertanding di Sarawak pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Justeru, Presiden PBK, Voon Lee Shan berkata Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen dan rakan-rakannya harus meletakkan jawatan daripada DAP dan menyertai parti politik tempatan.

“Ini kerana parti politik dari Semenanjung tidak diterima oleh rakyat Sarawak.

“Keputusan Pilihan Raya Negeri Ke-12 terhadap mereka adalah jelas,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menjelas lanjut, beliau berkata antara sebab DAP perlu menarik diri daripada bertanding di Sarawak pada pilihan raya kali ini adalah kerana DAP adalah parti asing dan tidak mempunyai urusan di Sarawak.

“Tidak pernah ada hasrat nenek moyang kita untuk mempunyai mana-mana parti politik Semenanjung menjejakkan kaki ke sini. Mereka asing kepada rakyat Sarawak,” katanya.

Selain itu, Voon berkata kerusi parlimen di Sarawak adalah untuk parti politik dari Sarawak dan bukan untuk direbut parti politik Malaya.

“Sarawak hanya diberi 31 daripada 222 kerusi Parlimen dan kerusi yang dimenangi parti politik dari Semenanjung adalah kerusi yang diambil oleh Malaya,” katanya.

Voon menambah adalah lebih baik DAP dan parti politik dari Semenanjung menyelesaikan masalah ekonomi, sosial dan politik di Semenanjung terlebih dahulu sebelum masuk ke Sarawak.

“Masalah di Semenanjung boleh menyebabkan kehancuran negara dan lebih baik parti politik dari sana seperti DAP, PKR, AMANAH dan PAS menggunakan tenaga dan sumber mereka untuk membersihkan kekacauan di sana,” katanya.

Voon akan bertanding menggunakan logo Parti Sarawak Bersatu (PSB) di Parlimen Bandar Kuching yang merupakan kerusi dikuasai DAP, sekali gus berdepan calon DAP, Kelvin Yii yang juga penyandang kerusi itu dan calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) Tay Tze Kok.

 

Suara Sarawak