Anwar bersama-sama calon PKR Sarawak selepas sidang media di Miri, hari ini

MIRI: Parti Keadilan Rakyat (PKR) hari ini mengumumkan senarai 16 calon yang bakal bertanding di Sarawak dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Daripada 16 senarai calon yang diumumkan itu, seramai 12 orang adalah muka baharu.

Pengumuman dibuat oleh Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim di sebuah hotel terkemuka di sini, hari ini.

Calon-calon berkenaan ialah Sofian Julaihi yang bakal bertanding di kerusi Petra Jaya, Diog Dios (Puncak Borneo), Tay Wei Wei (Sri Aman), Langga Lias (Lubok Antu), Patrick Khamis (Betong), Ibil Jaya (Saratok), Mohd Fauzi Abdullah@Joseph (Kanowit), Abdul Jalil Bujang (Mukah), Umpang Salang (Selangau), Abun Sui Anyit (Hulu Rajang), Zolhaidah Suboh (Sibuti), Chiew Choon Man (Miri), Roland Engan (Baram), Racha Balang (Limbang), Japar Suyut (Lawas) dan Khusyairy Pangkas Abdullah (Kapit).

Menurut Anwar, pihaknya membariskan ramai muka baharu yang datang daripada pelbagai latar belakang serta pengalaman baik di lapangan.

“Kesemua mereka yang akan bertanding di bawah panji Pakatan Harapan (PH) perlu bekerja keras bersama jentera bagi memastikan rakyat mendapat pendedahan mengenai agenda yang kita perjuangkan.

“Ini juga masanya buat rakyat Sarawak untuk bersama PH dalam memungkinkan perubahan buat mereka di Bumi Kenyalang ini,” katanya.

Dalam pada itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRU -15, pada 19 November, penamaan calon 5 November dan pengundian awal pada 15 November ini.

Suara Sarawak