KUCHING: Polis Kontinjen Sarawak memberi tumpuan di kawasan bandar yang dijangka panas menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata, tumpuan tersebut membabitkan Parlimen Bintulu, Bandar Kuching, Stampin, Lanang, Sibu dan Miri.

Selain itu katanya, pegawai dan anggotanya turut memberi tumpuan di kawasan yang terdapat pertambahan pengundi iaitu Senadin dan Lambir di Parlimen Miri, Tupong di Parlimen Petra Jaya dan Parlimen Santubong.

“Dari 31 Parlimen, tiada laporan setakat ini mengatakan kawasan-kawasan panas kerana tiada laporan berlakunya kejadian tidak diingini.

“Walaubagaimanapun, kita sentiasa menjalankan tanggungjawab mengenal pasti kawasan berkemungkinan panas,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Pelepasan Bantuan Sumber Manusia (BSM) Pegawai Kanan Polis Sempena PRU-15, di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Sarawak, di sini hari ini.

Azman berkata, berdasarkan Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN-12) lalu, perjalanan pilihan raya berjalan dengan aman dan tidak ada sebarang isu.

Terdahulu, beliau menyempurnakan pelepasan seramai 76 orang pegawai kanan polis yang digerakkan ke 28 Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di seluruh negeri ini dalam membantu penugasan PRU-15.

Penamaan calon bermula jam 9 pagi esok manakala pengundian awal ditetapkan pada 15 November sementara hari pengundian pada 19 November.

Suara Sarawak