KUCHING: Walaupun Parlimen Stampin dianggap kubu kuat DAP, calon GPS dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Lo Khere Chiang tidak gentar biarpun kali pertama bertanding.

Malah semangat beliau semakin membara apabila ratusan masyarakat tempatan membanjiri pekarangan letak kereta Moyan Genesis Parade, semalam untuk mendengar ceramah, visi dan misinya untuk membangunkan kawasan Stampin.

Lo Khere Chiang mara ke pentas ceramah sebelum hujan lebat.

Ceramah bertemakan ‘Sarawak First, United We Can’ itu berlangsung pada 11 November hingga 18 November depan.

Menurut beliau, tomahan yang dilontarkan daripada pihak pembangkang (parti Dap) yang  menuding jari terhadapnya sebagai Pengerusi Majlis Perbandaran Padawan susulan isu pili bomba dan insiden kebakaran Pasar Sungai Maong, Batu 3 di sini pada Khamis lalu, tidak melemahkan semangat beliau untuk berjuang demi rakyat di kawasan tersebut.

Kehadiran Presiden SUPP Datuk Seri Dr Sim Kui Hian(baju kuning), dan Adun Kota Sentosa Wilfred Yap( dua kiri) memeriahkan lagi suasana ceramah tersebut.

Lo menegaskan, tugasnya sebagai pengerusi MPP dalam masa yang sama sebagai Adun merupakan platform terbaik memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

“Rakyat semua tahu bahawa saya sentiasa bekerja keras untuk mereka dan tidak hanya duduk dan tidur di MPP.

Masyarakat setempat tidak berganjak mendengar ceramah beliau meskipun terpaksa bersesak di sebuah kedai makan untuk berteduh daripada hujan lebat.

“Saya sentiasa turun padang, itu yang membezakan saya dengan DAP,” katanya di sini, semalam.

Ujarnya, PRU-15 pada kali ini harus merampas semula Stampin daripada pembangkang kerana beliau tidak mahu wakil parti yang berasaskan dari Semenanjung Malaysia.

RAKAM KENANGAN..Lo Khere Chiang merakam kenangan bersama penyokongnya selepas ceramah.

Turut hadir dan memberikan ceramah tersebut ialah Presiden SUPP Datuk Seri Dr Sim Kui Hian, dan Adun Kota Sentosa Wilfred Yap.

Ceramah kedua beliau bakal diadakan di tempat letak kereta Sekolah Jenis Kebangsaan Chung Hua Batu 10, jam 7.30 petang, 12 November (hari ini).

Dalam perkembangan berkaitan, seramai 121,009 pengundi layak bagi kawasan Parlimen Stampin menyaksikan pertembungan tiga penjuru dalam PRU-15 ini nanti.

Tiga calon yang bakal bertembung ialah calon GPS Lo Khere Chiang, Chong Chieng Jen daripada DAP dan Lue Cheng Hing daripada PBK namun menggunakan logo PSB untuk bertanding.

Suara Sarawak