PRU-15: Terpulang PN untuk bertanding di Sarawak

KOTA SAMARAHAN: Gabungan Parti Sarawak (GPS) tidak menghalang mana-mana parti politik dari Semenanjung meletakkan calon untuk bertanding di negeri ini pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Setiausaha Agung GPS Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, perkara tersebut juga kerana Malaysia mengamalkan sistem demokrasi.

“Begitu juga dengan Perikatan Nasional (PN) dan ini terpulang kepada mereka. Dalam amalan demokrasi tiada siapa boleh menghalang parti untuk meletakkan siapa atau di mana calon mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Peranti Siswa Keluarga Malaysia dan Penyampaian Sumbangan “Food Bank” UiTM Cawangan Sarawak di Dewan Jubli UiTM, dekat sini, hari ini.

Penyandang kerusi Parlimen Kapit itu berkata demikian mengulas mengenai PN yang meletakkan empat calon di Sarawak dengan tiga daripadanya mewakili Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan seorang lagi adalah calon PAS.

Daripada empat calon berkenaan, dua adalah penyandang dan akan mempertahan kerusi yang dimenangi pada 2018 iaitu Datuk Ali Biju melibatkan kerusi Parlimen Saratok, manakala Jugah Muyang pula akan mempertahankan kerusi Lubok Antu.

Seorang lagi calon Bersatu yang akan mewakili PN adalah Duke Janteng yang akan bertanding di Parlimen Bintulu, sementara calon PAS yang akan bertanding di Parlimen Batang Lupar akan diumumkan kemudian.

 

Suara Sarawak