FOTO: Kraftangan Sarawak

KUCHING : Kerajaan Sarawak akan menubuhkan Pusat Kraftangan Sarawak di Kuching bermula tahun hadapan.

Membabitkan peruntukan berjumlah RM65 juta, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pusat ini akan memastikan pengeluar tempatan akan mempunyai kemahiran tinggi dalam pengeluaran dan pengurusan produk kraftangan.

“Pusat ini akan memberi ruang kepada industri untuk mempromosi dan menjual produk kraftangan.

“Justeru bagi memulakan projek ini, RM500,000 akan diperuntukkan pada tahun hadapan,” katanya dalam Pembentangan Bajet 2023 di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), hari ini.

Abang Johari juga berkata Kerajaan Sarawak akan memperuntukkan RM87 juta untuk meneruskan pelaksanaan projek berkaitan pelancongan.

Katanya ia termasuk transformasi Limbungan Brooke kepada Muzium Maritim, Taman Arkeologi Santubong dan Wallace Centre, pembinaan jeti dan kemudahan lain di Santubong untuk Kuching Wetlands National Park dan Pelancongan Bakau Sadong Jaya.

Projek lain termasuk pembangunan merangkumi  pameran untuk Fort Hose di Marudi, Fort Lily di Betong, Fort Emma di Kanowit dan Fort Brooke di Julau, pemuliharaan dan menaik taraf Fort Sylvia di Kapit, peremajaan Kuching Waterfront, Pusat Sokongan Pelancong untuk Lundu dan Sematan, menaik taraf kemudahan pelancongan di Air Terjun Melasak di Lawas dan Galeri Warisan dan Sumber di Long Terawan.

Sementara itu, peruntukan berasingan sebanyak RM1.5 juta akan diberikan kepada Majlis Kraf Sarawak bagi meningkatkan pemasaran dan promosi produk kraftangan Sarawak.

 

Suara Sarawak