KUCHING: Kerajaan Sarawak komited untuk memberikan impak dalam penyelidikan bioperubatan melalui pembinaan Pusat Penyelidikan Penyakit Berjangkit Sarawak yang menelan peruntukan RM200 juta.

Menurut Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, pusat yang dijangka mula beroperasi pada Disember 2024 itu dibina dengan kemudahan penyelidikan bioperubatan bertaraf dunia yang dilengkapi dengan makmal BSL3.

“Kerajaan Sarawak komited membelanjakan RM200 juta itu untuk membina bangunan SIDS yang akan dilengkapi dengan peranti dan mesin perubatan terkini termasuk program analitik bagi melakukan penyelidikan menggunakan sumber biodiversiti yang terdapat di negeri ini untuk menghasilkan produk perubatan serta vaksin,” katanya.

Abang Johari yang juga Pengerusi Majlis Penyelidikan dan Pembangunan Sarawak (SRDC) berkata demikian dalam ucapan perasmian Simposium Penyelidikan dan Pembangunan SRDC di sini, hari ini.

 

Tambahnya, SIDC juga akan memulakan penyelidikan dan pembangunan intensif merangkumi program pembangunan modal insan dalam bidang pengawasan penyakit, diagnostik, penemuan terapeutik dan pembangunan vaksin dan analisis data.

“Program itu akan menyaksikan perkongsian erat antara SIDC dengan Institut Kesihatan Awam dan Tropika Switzerland, Imperial College London, Universiti Oxford dan Monash University (Malaysia).

“Untuk itu, Kerajaan Sarawak bersetuju untuk memberikan RM8 juta kepada SIDC bagi memulakan pelbagai program penyelidikan dan pembangunan insan yang membolehkannya beroperasi menjelang Disember 2024,” ujarnya.

Mengulas lanjut katanya, usaha itu penting untuk negeri ini membina budaya penyelidikan yang berdaya saing serta menggalakkan pelbagai disiplin untuk bekerjasama bagi mengukuhkan bidang penyelidikan dan pembangunan.

Hadir sama Timbalan Premier Sarawak Datuk Seri Dr Sim Kui Hian; Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat (MEITD) Datuk Roland Sagah Wee Inn, Timbalan Menteri MEITD Dr Annuar Rapaee dan Datuk Francis Harden Hollis serta Pengurus Besar SRDC Dr Peter Morin Nissom.

Suara Sarawak