SEDIA GEMPUR…Pasukan Miri FA.

KUCHING: Saingan pusingan Akhir Liga Bola Sepak Bawah 20 Tahun SSC/FAS 2022 memasuki peringkat separuh akhir esok.

Lantas, bakal menyaksikan pertembungan empat pasukan iaitu Serian FA dan Miri FA dari Kumpulan A selain Kuching FA dan PSSI Kalimantan Barat (Indonesia) dari Kumpulan B untuk merebut dua slot ke pentas akhir.

Pengerusi Bersama Kejohanan Liga, Mohd. Saif Jubaidi memberitahu, perlawanan separuh akhir akan berlangsung di dua gelanggang berbeza.

MARA KE SEPARUH AKHIR…Pemain PSSI Kalimantan Barat (Indonesia).

Serian FA akan menentang PSSI Kalimantan Barat (Indonesia) di Stadium Negeri, Petra Jaya manakala, perlawanan membabitkan Kuching FA dan Miri FA akan berlangsung di Stadium Sarawak, Petra Jaya.

Menurut Saif, sepak mula kedua-dua perlawanan tersebut pada jam 4:15 petang.

“Kita menjangkakan pertembungan sengit akan berlaku membabitkan semua pasukan terbabit.

“Masing-masing akan cuba meraih kemenangan untuk layak ke perlawanan akhir,” ujar Saif kepada Arena Suara Sarawak.

Sementara itu,  aksi terakhir peringkat kumpulan antara Kuching FA dan PSSI Kalimantan Barat (Indonesia) di Stadium Sarawak, Petra Jaya yang berkesudahan seri tanpa jaringan.

Suara Sarawak