RAIH KEMENANGAN…Barisan pemain Serian FA.

KUCHING: Pasukan Serian FA berjaya memperoleh tiga mata berharga selepas mencatat kemenangan (2-1) keatas Miri FA pada aksi kedua Kumpulan A Pusingan Akhir Liga Bola Sepak Bawah 20 Tahun SSC/FAS 2022 di Stadium Negeri, Petra Jaya pagi tadi.

Kemenangan ini sekali gus menyaksikan Serian FA kini mengumpul empat mata selepas aksi pertama mereka menentang PEC Bintulu pagi semalam yang berkesudahan seri (1-1).

Dua gol Serian FA perlawanan pagi tadi dijaringkan oleh Elrad George Terry George minit ke-26 dan Mohamad Syah Qabillah Rosli minit ke-60 (penalti) manakala, gol Miri FA dijaringkan oleh Muhamad Imran Ali minit ke-2.

Menurut Pengurus pasukan, Md. Haical Abdullah, tiga mata ini cukup berharga bagi kami, syabas kepada pemain atas kebangkitan prestasi dipamerkan mereka untuk memastikan kemenangan dapat diperoleh.

“Apa pun, diharap pemain dapat mengekal momentum cemerlang mereka untuk mengharungi perlawanan lain selepas ini,” katanya kepada Arena Suara Sarawak.

Perlawanan ketiga Serian FA akan menentang Sarikei FA pada Selasa di Stadium Negeri, Petra Jaya (4:15 petang).

Suara Sarawak