Tuan Haji Japri bin Bujang Masli dan Datuk Abang Sallehuddin bertukar dokumen selepas menandatangani MoU kerjasama antara Pustaka Negeri Sarawak dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bersama-sama Ahli Lembaga Pengurusan Pustaka Negeri Sarawak, Prof. Dr Shahren Ahmad Zaidi Adruce di Kuching, hari ini.

KUCHING: Pustaka Negeri Sarawak (Pustaka) dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dalam mewujudkan asas kerjasama yang mempunyai kepentingan bersama untuk kedua-dua belah pihak.

Kerjasama itu termasuk menyediakan kepakaran, tenaga kerja, maklumat dan sokongan yang diperlukan antara satu sama lain.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Pustaka Negeri Sarawak, Tuan Haji Japri bin Bujang Masli, berkata bidang kerjasama antara Pustaka dan DBP merangkumi pendidikan dan penyelidikan serta penbangunan koleksi berkaitan bahasa dan sastera.

“Selain itu penerbitan, promosi dan pemasaran produk yang diterbitkan dan mana-mana bidang kerjasama lain yang akan dipersetujui bersama.

“MoU ini akan berkuat kuasa pada tarikh termeterainya tandatangan daripada kedua-dua pihak untuk tempoh lima tahun,” katanya ketika bercakap pada majlis MoU antara Pustaka dan DBP di Pustaka Negeri Sarawak di sini, hari ini.

Sementara itu Ketua Pengarah DBP Datuk Abang Sallehuddin Abang Shokeran berkata pihak terbuka untuk bekerjasama.

“Perancangan yang dilakukan oleh Pustaka sangat ke hadapan dan bersesuaian dengan keperluan semasa kerana Pustaka antara perpustakaan moden, mempunyai perancangan sangat teliti dan teratur,” katanya.

Untuk rekod, Pustaka dan DBP telah bekerjasama dalam penganjuran pelbagai aktiviti sejak 2015.

Terkini, dua organisasi itu sedang menerbitkan buku memoir hasil tulisan daripada para pegawai Pustaka yang dijangka siap hujung Disember depan.

Antara lain termasuk penerbitan buku biblioterapi dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Sarawak dan DBP Cawangan Sarawak tahun depan.

Suara Sarawak