KUCHING: Pasukan Puteri Dang Balai akhirnya dinobatkan sebagai raja sungai selepas bersaing sengit memintas pasukan Binladen 4 pada saat akhir dalam aksi final Regata Sarawak 2022 di sini, hari ini.

Pasukan dari Yayasan Sarawak 5 itu berjaya memenangi kategori utama iaitu Perahu Bidar 30 Pengayuh Lelaki membawa balik piala TYT dan trofi Petra Energy berserta hadiah berjumlah RM20,000.

Manakala, pasukan Binladen 4 dari Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) Pantai Damai mendapat tempat kedua dengan membawa balik hadiah RM10,000 berserta trofi kemenangan.

MENANG… Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah (dua kiri) bergambar dengan para pemenang

Bagi pasukan Udak pula berjaya menduduki tempat ketiga dengan membawa pulang trofi dan wang berjumlah RM8,000.

Penyampaian hadiah disempurnakan oleh Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah yang mewakili Tuan Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud.

Wakil penerima hadiah kemenangan bagi pasukan Puteri Dang Balai ialah Pengarah Yayasan Sarawak Mersal Abang Rosli, manakala wakil tempat kedua ialah Adun Pantai Damai Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi.

Pasukan Puteri Dang Balai Raja Sungai bersorak kegembiraan menjunjung piala kemenangan

Manakala, wakil penerima hadiah pasukan Udak ialah Afiq Brahim.

Dalam pada itu, sekitar lebih 5,000 pengunjung membanjiri tebingan sungai Kuching untuk menyaksikan aksi final Regata Sarawak 2022, di sini, hari ini.

Suara Sarawak