KUCHING: Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah sedang mempertimbangkan untuk menubuhkan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Sarawak (SAQIS).

Menterinya Datuk Sri Dr. Stephen Rundi Utom berkata, perkhidmatan yang dicadangkan merupakan agensi sama seperti Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) di Semenanjung.

“Penubuhan SAQIS adalah penting untuk menjaga dan meningkatkan langkah biosekuriti dalam mengekalkan status bebas penyakit di Sarawak,” katanya pada sesi penggulungan kementeriannya di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini, semalam.

Menurutnya, usaha itu penting antaranya mengekang virus rentas sempadan seperti Demam Babi Afrika (ASF), rabies dan penyakit berkaitan daripada merebak masuk ke negeri ini.

“Untuk ASF yang pertama kali dikesan di Lawas pada 2021, ia telah menjejaskan kebanyakan ladang yang mempunyai biosekuriti lemah. Sehingga kini, sejumlah 6,263 haiwan yang dimiliki oleh lebih 800 penternak khinzir belakang rumah telah dilupuskan, manakala 34 ladang komersil dengan 31,130 haiwan dimusnahkan.

“Untuk meringankan beban semua yang terlibat, Kerajaan Sarawak telah meluluskan peruntukan sebanyak RM5.5 juta sebagai bantuan dengan setakat ini seramai 196 penternak belakang rumah sudah menerima bantuan, selebihnya akan disalurkan secara berperingkat,” ujarnya.

Sementara untuk rabies, katanya kes gigitan menunjukkan trend menurun daripada 400 kes sebulan pada 2018 kepada 250 kes sebulan pada 2022.

“Peratusan kes anjing positif rabies yang direkodkan dalam tempoh empat tahun juga menunjukkan trend menurun daripada 42 peratus pada 2018 kepada 14 peratus pada tahun ini. Statistik ini menunjukkan keadaan rabies di Sarawak adalah terkawal,” ujarnya.

Dalam pada itu katanya, sejak penubuhan Unit Penguatkuasaan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak pada 2019, sebanyak 228 kompaun telah dikeluarkan bagi kesalahan yang dilakukan di bawah pelbagai peruntukan Ordinan Kesihatan Awam Veterinar 1999 dengan RM1.4 juta kompaun berjaya dikutip.

Untuk mempercepatkan pelaksanaan pelbagai program pembangunan pertanian pula, katanya Jabatan Pertanian Sarawak (JPS) sedang proses pengambilan kakitangan dengan sebanyak 112 jawatan.

“Ia merangkumi 38 jawatan pengurusan dan profesional serta 74 perkhidmatan sokongan. Kesemua kakitangan baharu itu dijangka melaporkan diri untuk bertugas dalam suku pertama 2023, dan akan ditempatkan di seluruh Sarawak,” jelasnya.

Selain itu katanya, Perkhidmatan Veterinar Malaysia termasuk Sarawak sedang dinilai oleh Pertubuhan Kesihatan Haiwan Sedunia (WOAH) berdasarkan piawaian antarabangsa, kualiti perkhidmatan, struktur organisasi dan keperluan tenaga kerja.

Suara Sarawak