Datuk Willie Mongin

KUCHING: Datuk Willie Mongin berikrar akan melaksanakan rancangan holistik di Parlimen Puncak Borneo terutama pembangunan infrastruktur asas.

Menurutnya pelaksanaan berpaksikan konsep kebajikan, kemajuan, kerohanian dan kemahiran kepada setiap penduduk Puncak Borneo.

“Ia antara harapan besar kita dalam merancang pelan pembangunan dari aspek sosioekonomi di kawasan Parlimen Puncak Borneo.

“Perkara itu kita akan kongsikan kemudian kerana kerjasama antara kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan akan memainan peranan besar kepada projek yang telah dirancang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa menghadiri Majlis Menunggu Keputusan Rasmi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pada Sabtu.

Willie berkata kerjasama antara kerajaan negeri dan persekutuan amat penting dalam merealisasikan agenda pembangunan sekali gus memanfaatkan penduduk demi kesejahteraan awam.

“Ini akan memberikan perbezaan yang besar kerana kita boleh bekerjasama dengan kerajaan negeri.

“Sekarang kita berada dalam satu bot yang sama, dan ini akan memudahkan usaha kita yang selari dengan prinsip kebersamaan khususnya di kawasan Parlimen Puncak Borneo,” katanya.

Terdahulu Willie menang dengan majoriti 13,338 undian selepas berjaya meraih 29,457 undi menewaskan dua pencabarnya iaitu Diog Dios (16,119) dari Pakatan Harapan dan Lana Akam yang mewakili Perikatan Nasional (PN) dengan 5,578 undi.

Suara Sarawak