KUCHING: Kerajaan Sarawak memperuntukkan RM1.157 bilion bagi pelaksanaan projek berjiwa rakyat di negeri ini pada tahun hadapan.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg memberitahu, di bawah teras strategik pertama mencapai kesejahteraan ekonomi, terdapat banyak inisiatif menangani keperluan sosioekonomi dan cabaran hidup rakyat.

“Antaranya mewujudkan peluang pekerjaan, perniagaan dan melalui Belanjawan Sarawak 2023, kita akan mengutamakan usaha untuk mempercepatkan pembangunan, memastikan pertumbuhan wilayah yang lebih seimbang serta menangani keperluan sosioekonomi dan cabaran yang dihadapi rakyat.

“Pelaburan besar Sarawak dalam pembangunan infrastruktur turut memastikan rakyat mempunyai akses yang lebih besar kepada peluang pekerjaan dan perniagaan untuk meningkatkan taraf hidup mereka.

“Justeru tahun hadapan, pelaksanaan pelbagai projek berjiwa rakyat akan dipergiatkan termasuk RM420 juta bagi program Transformasi Luar Bandar (RTP),” katanya semasa membentangkan Belanjawan Sarawak 2023 pada persidangan Dun di sini, hari ini.

Selain itu jelasnya, RM500 juta bagi pelaksanaan Projek Rakyat manakala untuk projek khas dikenali sebagai Projek Kecil Luar Bandar (MRP) diperuntukkan RM237 juta.

Kerajaan menurut Abang Johari lagi, turut melabur dalam perumahan mampu milik.

“Dalam usaha kita memastikan rakyat tinggal di rumah yang selesa, Kerajaan Sarawak komited untuk membina lebih banyak rumah mampu milik.

“Bagi tujuan tersebut, RM316 juta telah diperuntukkan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), yang mana kira-kira RM52 juta akan disediakan pada 2023 untuk membiayai 21 projek rumah mampu milik.

“Ia melibatkan kawasan sekitar Kuching, Serian, Betong, Sibu, Mukah dan Miri oleh Perbadanan Kemajuan Perumahan (HDC),” tambahnya.

Suara Sarawak