KUCHING: Beberapa projek bertumpu kepada rakyat akan dibina menggunakan peruntukan RM1.5 billion di bawah Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA).

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong Mohd Chee Kadir berkata antara projek yang dirancang adalah pembinaan Kompleks Sukan Kabong, prasarana sukan serta Medan Selera di Pantai Tanjung Kembang.

Beliau berkata pembinaan Kompleks Sukan Kabong bertujuan bagi merangsang penglibatan aktif belia dalam bidang sukan, di samping pembinaan prasarana sukan di setiap kawasan di DUN berkenaan.

“Untuk melonjakkan lagi daya tarikan pengunjung ke Pantai Tanjung Kembang, sebuah Medan Selera akan dibina,” katanya ketika membahas Belanjawan Negeri 2023 pada Persidangan DUN, hari ini.

Beliau yakin semua kawasan DUN dalam Bahagian Betong akan menikmati manfaat impak daripada kewujudan BDDA, sekali gus mempercepatkan pembangunan dalam kawasan ini.

Dalam isu berasingan, Mohd Chee mencadangan agar kerajaan melalui agensi berkaitan memberikan perhatian khusus terhadap pembangunan industri kecil dan sederhana di kawasan berkenaan.

Ini jelasnya, ekoran kawasan tersebut berpotensi sebagai industri desa berasaskan produk hasil tani pokok rumbia, apong atau nipah dan lain- lain.

Sambil menyifatkan industri tersebut dapat bertahan lama dan semakin meningkat sejak kebelakangan ini, ADUN Kabong itu mencadangkan supaya kerajaan membina sebuah pusat pengeluaran bagi menjenama dan memasarkan produk yang pelbagai itu.

Suara Sarawak