KUCHING: Cadangan untuk melaksanakan projek naik taraf Loji Rawatan Air Sungai Asap dan kemudahan lain sudah dikemukakan untuk dilaksanakan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) melibatkan anggaran kos RM16.7 juta.

Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi memberitahu, usaha tersebut merupakan perancangan jangka panjang bagi memastikan gangguan bekalan air dapat diselesaikan.

“Cadangan projek tersebut melibatkan kerja menaik taraf loji rawatan air daripada lima juta liter sehari (MLD) kepada 10 MLD termasuk pembinaan muka sauk baharu yang dianggarkan menelan kos RM16.7 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Adun Murum Kennedy Chukpai Ugon pada persidangan hari keempat Dun Sarawak di sini, hari ini.

Terdahulu beliau menjawab mengenai permasalahan bekalan air bersih terawat yang sering terputus semasa musim kemarau dan banjir.

Menurutnya apabila musim kemarau, loji rawatan air mengalami kesukaran untuk merawat air Sungai Koyan disebabkan perubahan kualiti air mentah yang mendadak.

“Ini menyebabkan keupayaan penghasilan air menurun sehingga 20 ke 40 peratus.

“Manakala apabila banjir, muka sauk tidak dapat berfungsi sepenuhnya akibat paras air yang tinggi dan aliran air sungai yang deras. Seterusnya, menjejaskan fungsi muka sauk dan kerja-kerja penyelenggaraan perlu dilaksanakan selepas air surut.

“Oleh demikian, untuk tindakan jangka pendek, kerja penambahbaikan muka sauk akan dilaksanakan pada tahun hadapan bagi memastikan fungsinya tidak terjejas ketika musim banjir,” ujarnya.

Abdul Rahman memaklumkan dianggarkan RM1.5 juta diperlukan untuk melaksanakan projek tersebut.

Suara Sarawak