Abang Johari di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak yang ke-19
FOTO GHAZALI BUJANG

KUCHING: Sejumlah RM26.9 juta diperuntukkan kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk kerja pemulihan dan naik taraf saliran dan perparitan membabitkan Bahagian Serian, Betong dan Mukah.

Menteri Kewangan dan Ekonomi Baharu Sarawak merangkap Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, sistem saliran dan pengaliran akan terus dilaksanakan dalam usaha Kerajaan Sarawak bagi meningkatkan pengeluaran makanan.

Katanya, sejumlah RM900,000 akan diperuntukkan di bawah skim pemulihan dan naik taraf JPS di Tanjung Purun dan Pueh di Bahagian Kuching.

“RM1 juta untuk pembangunan projek skim saliran terkawal di Kampung Mujat di Bahagian Serian.

“RM25 juta lagi akan disediakan pada 2023 di bawah Projek Rakyat untuk pemulihan lapan skim JPS di Bahagian Samarahan dan wilayah bakul makanan di Betong dan Mukah,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Sarawak 2023 di Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Abang Johari menambah bahawa Kerajaan Sarawak telah meluluskan projek di bawah Pembiayaan Alternatif.

Katanya, ia termasuk RM229 juta di bawah Agensi Pembangunan Bersepadu Pembangunan Samarahan (IRSDA) untuk projek saliran dan perparitan termasuk pemulihan dan pembinaan ban pesisir dan sistem perparitan.

“RM130 juta untuk pembangunan infrastruktur saliran dan perparitan di Selepong Panggil, Sri Aman, kawasan yang mempunyai potensi besar untuk kawasan padi baharu di Sarawak.

“RM52 juta untuk pembangunan dan naik taraf infrastruktur dan kemudahan di Taman Akuakultur Loba Stoh, Rambungan untuk meningkatkan pengeluaran perikanan,” jelasnya.

 

Suara Sarawak