KERAJAAN Gabungan Parti Sarawak (GPS) memperuntukkan sebanyak RM560 juta kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak untuk operasi memerangi Covid-19 di negeri ini sejak dua tahun lalu.

Daripada jumlah itu, sebanyak RM300 juta digunakan untuk menubuhkan bangunan makmal dan membeli peralatan yang diperlukan.

Peruntukan tersebut membolehkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak menubuh dan membayar pusat kuarantin, membeli vaksin, termasuk peralatan perubatan, mewujudkan makmal perubatan dan keperluan lain bagi memudahkan operasi.

Sebanyak RM260 juta pula dibelanjakan untuk membayar hotel yang dijadikan pusat kuarantin di seluruh Sarawak.

Ini bermakna jumlah keseluruhan yang diperuntukkan kepada JPBN Sarawak adalah RM560 juta.

JPBN Sarawak menerima sumbangan berjumlah RM28 juta, termasuk bantuan peralatan perlindungan, peralatan perubatan dan keperluan lain.

Kesemua sumbangan itu juga diterima daripada 127 badan mewakili kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan, pihak korporat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan individu.

Dana yang disalurkan itu juga digunakan untuk membiayai perkhidmatan sokongan termasuk pengangkutan bagi menghantar vaksin ke kawasan luar bandar dan pedalaman negeri ini.

Ia juga digunakan untuk menjalankan kos menganalisis ujian calitan yang ditingkatkan daripada 2,500 kepada 6,000 ujian sehari ketika kes meningkat tinggi.

Pada September 2021, Sarawak mencatat sehingga 5,000 kes sehari.

Sekiranya seorang positif, pemeriksaan ke atas 10 kontak rapat perlu dibuat.

Selain itu, terdapat banyak lagi bantuan yang diberikan Kerajaan GPS sepanjang tempoh Covid-19 termasuk elaun bulanan khas untuk tempoh enam bulan kepada petugas barisan hadapan bagi menghargai sumbangan dan pengorbanan mereka menguruskan pandemik di negeri ini.

Elaun bantuan khas itu juga melibatkan insentif berjumlah RM200 hingga RM300 kepada petugas barisan hadapan.

Kerajaan Sarawak juga membelanjakan lebih RM27 juta untuk membayar bantuan ini.

Suara Sarawak