RM6.7 bilion untuk rakyat
Gabungan Parti Sarawak

KERAJAAN Gabungan Parti Sarawak (GPS) telah memperuntukkan sebanyak RM6.7 bilion menerusi pakej Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) 1.0 hingga 9.0 untuk membantu rakyat yang terkesan akibat Covid-19 sejak 2020 hingga kini.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pelbagai bantuan juga telah dilaksanakan menerusi pakej BKSS untuk mengurangkan kesan pandemik Covid-19 kepada rakyat di negeri ini melibatkan pelbagai kumpulan pendapatan, individu dan perniagaan.

Menurutnya, bantuan tersebut termasuk subsidi air dan elektrik, cukai rumah, pengecualian bayaran sewa premis kepada pengusaha kecil dan sederhana (PKS) milik badan berkanun serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC) Sarawak, bayaran balik pinjaman perumahan, bantuan tunai sehingga ke bantuan mengawal harga bahan binaan dan banyak lagi.

“Semasa pandemik Covid-19 melanda negeri ini, kerajaan amat memahami kesulitan yang dihadapi rakyat.

“Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) juga telah menyebabkan banyak perniagaan kecil dan besar menghadapi kesulitan, sekali gus menyebabkan ramai orang hilang pekerjaan serta sumber pendapatan.

“Justeru, bagi meringankan beban rakyat, peniaga kecil, industri kecil dan sederhana, Kerajaan GPS telah melaksanakan pakej BKSS,” ujarnya.

BKSS 1.0 berjumlah RM1.2 bilion dilancarkan pada 23 Mac 2020, diikuti BKSS 2.0 sebanyak RM1.1 bilion pada 30 April, BKSS 3.0 melibatkan peruntukan RM300 juta pada 8 Mei, dan BKSS 4.0 sebanyak RM104 juta pada 23 Oktober.

Pada 2021, BKSS 5.0 sebanyak RM405 juta dilancarkan pada 11 Januari, diikuti BKSS 6.0 sebanyak RM1.4 bilion pada 28 Mei, dan BKSS 7.0 sebanyak RM800 juta pada 4 Ogos.

Manakala pada 2022, BKSS 8.0 dilancarkan pada 28 Januari melibatkan peruntukan berjumlah RM285.47 juta dan BKSS 9.0 pada 29 Ogos sebanyak RM1 bilion.

Suara Sarawak