Tertuduh dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen 4 oleh anggota penjara di Kuching, hari ini.

KUCHING: Seorang lelaki tempatan dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun dan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, kerana melakukan rompak berkumpulan.

Hakim Mohd Taufik Mohd@Mohd Yusoff menjatuhkan hukuman terhadap Addian Lois Peter Nawas, 27, selepas mengaku bersalah di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan dibacakan bersama Seksyen 397 Kanun yang sama, ketika perbicaraan kes hari ini.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa bersama seorang rakannya telah melakukan rompak berkumpulan menggunakan sebilah pisau dan mengambil wang tunai berjumlah RM1,300 di sebuah kedai runcit di Jalan Stutong, kira-kira jam 6.35 pagi, 9 November 2021.

Menurut fakta kes, ketika mangsa sedang bekerja di sebuah kedai runcit, tiba-tiba didatangi dua orang lelaki tidak dikenali mengacukan sebilah pisau ke arahnya lalu.

Kedua-dua lelaki tersebut lalu mengambil wang tunai berjumlah RM1,300 dalam mesin wang lalu melarikan diri.

Mangsa kemudian membuat laporan polis selepas kejadian berlaku seterusnya membawa kepada penangkapan tertuduh pada 3 Disember 2021.

Terdahulu, dalam kes berasingan, dia turut dijatuhi penjara sembilan tahun oleh Hakim Mahkamah Sesyen Maris Agan di bawah seksyen yang sama.

Tertuduh memohon agar hukuman yang dikenakan terhadapnya berjalan secara serentak bagi kedua-dua pertuduhan tersebut.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Danial Mohammad Ali memohon agar tertuduh menjalani hukuman penjara secara berturutan kerana perlu mengambil kira berat kesalahan, masa dan lokasi yang berbeza semasa melakukan rompakan.

Mahkamah kemudian memutuskan tertuduh menjalani hukuman secara berturutan bagi kedua-dua pertuduhan tersebut.

Suara Sarawak