KUCHING: Padah merompak sebuah kedai runcit mini dengan mengambil wang tunai berjumlah RM345 dan beberapa bungkus rokok berjenama, seorang lelaki tempatan dijatuhi hukuman penjara sembilan tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

Tertuduh Addian Lois Peter Nawas, 27, dijatuhi hukuman tersebut selepas didapati bersalah di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan dibacakan bersama Seksyen 397 Kanun yang sama.

Hakim Maris Agan mendapati pihak pendakwa berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh selepas perbicaraan penuh hari ini.

Tertuduh dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen 1.

Mengikut pertuduhan, dia bersama-sama seorang rakannya yang masih bebas telah melakukan rompak berkumpulan di sebuah kedai runcit mini di Pasar Batu 10, Kota Padawan, sekitar jam 9.45 malam, 11 November 2021.

Menurut fakta kes, semasa kejadian, mangsa seorang wanita yang bekerja sebagai juruwang telah didatangi dua orang lelaki yang tidak dikenali menggunakan helmet, berbaju hitam dan berseluar denim.

Mangsa tiba-tiba diacukan sebilah pisau lalu mengambil sejumlah wang tunai RM345 dan beberapa bungkus rokok lalu melarikan diri.

Selepas kejadian, mangsa tampil membuat laporan polis untuk tindakan lanjut seterusnya membawa kepada penangkapan tertuduh.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Ruvinasini Pandian manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Suara Sarawak