SIBU: Seorang kerani wanita berusia lingkungan 50-an di sini mengalami kerugian lebih RM850,000 selepas terperdaya dengan sindiket penipuan pembelian kereta terpakai dalam talian.

Ketua Polis Daerah Sibu ACP Zulkipli Suhaili dalam satu kenyataan hari berkata, mangsa yang bekerja di sebuah syarikat swasta di sini berusia tertarik dengan iklan di laman Facebook bernama Castello Motor Trading PTD LTE Singapura, yang kononnya menjual kereta terpakai dari Singapura.

Beliau berkata, dia kemudian mula berurusan dengan suspek melalui WhatsApp bermula pertengahan Julai lalu selepas tawaran yang diiklankan.

“Dia berminat untuk membeli kereta modal Lexus RX300 yang diiklankan hanya berharga RM37,500 dengan bayaran ansuran bulanannya sebanyak RM625 sebulan untuk tempoh lima tahun.

“Bermula dari 14 Julai hingga 8 Ogos lalu, mangsa memindahkan sejumlah RM850,901 dalam 170 transaksi ke 14 akaun bank kononnya untuk urusan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), permit kelulusan (AP), cukai kastam, kos penghantaran dan sebagainya,” jelasnya.

Zulkipli mengatakan mangsa turut diugut untuk diambil tindakan undang-undang kerana melakukan pembelian kereta terpakai secara haram yang menjurus kepadanya untuk mendepositkan wang sebanyak itu yang melebihi harga kereta yang ditawarkan.

“Wang yang digunakan mangsa untuk membeli kereta itu adalah daripada wang simpanannya.

“Dia juga terpaksa meminjam daripada rakan-rakannya dan mendapatkan pinjaman daripada peminjam wang berlesen setelah dikehendaki membuat pelbagai bayaran kerana diugut,” katanya.

Zulkipli menambah mangsa hanya membuat laporan polis pada 15 November (Selasa).

Justeru, beliau menasihatkan orang ramai supaya mengesahkan iklan kereta terpakai dalam talian sebelum membuat sebarang pembayaran bagi mengelak ditipu.

Beliau juga berkata orang ramai perlu berhati-hati apabila menjumpai sebarang promosi atau tawaran yang murah.

“Semak harga jualan semasa di pasaran dahulu atau pergi ke syarikat kereta dan berbincang terus dengan pemilik syarikat atau ejen yang sah.

“Terdapat banyak iklan jualan kereta yang tidak wujud menawarkan harga rendah atau istimewa di laman media sosial,” katanya sambil menambah bahawa kes disiasat dibawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan atas kesalahan menipu.

Suara Sarawak