KUCHING: Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak hari ini sebulat suara meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Lembaga Dana Kekayaan Berdaulat Masa Depan Sarawak, 2022.

RUU yang pertama kali seumpamanya diwujudkan di negara ini telah dibentangkan oleh Premier Sarawak yang juga Menteri Kewangan dan Ekonomi Baharu Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg itu pada Persidangan Hari Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN), di sini, hari ini.

Menurut Abang Johari, tujuan penubuhan dana tersebut adalah untuk menjana sumber pendapatan yang mampan untuk generasi akan datang negeri ini.

Abang Johari ketika membentang RUU Lembaga Dana Kekayaan Berdaulat Masa Depan Sarawak
pada Persidangan Hari Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN), di sini, hari ini.

“Selama bertahun-tahun kita menikmati hasil berasaskan komoditi terutamanya daripada minyak dan gas. Sumber hasil ini, bagaimanapun akan berkurangan dan jika tidak diurus dan dilaburkan dengan bijak, generasi akan datang akan kehilangan faedah ekonomi yang sama.

“Oleh itu, adalah penting untuk menukar aset tidak boleh diperbaharui ini kepada aset kewangan untuk memelihara dan mengembangkan kekayaan semasa negeri,” katanya dalam pembentangan, hari ini.

Tambahnya, dana kekayaan tersebut diyakini akan mengekalkan kedudukan fiskal kewangan negeri melalui pelbagai hasil dan penciptaan rizab menggantikan hasil minyak dan gas pada tahun-tahun akan datang.

“Ini akan mengukuhkan lagi kemampanan kewangan negeri dan membolehkannya menghadapi sebarang kemungkinan masa hadapan,” tegasnya.

Terdahulu, RUU tersebut dibahas oleh 10 Adun yang kesemuanya menyokong penubuhan dana tersebut demi masa depan generasi Sarawak.

Suara Sarawak