KUCHING: Kelulusan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan Negeri Sarawak (Pindaan) (No.2) 2022 bagi melarang wakil rakyat yang dipilih, melompat parti menggambarkan Sarawak sedang bergerak di landasan betul dalam kematangan demokrasi politiknya.

Pengasas dan Penasihat Persatuan Pemikir Dayak Sarawak (DTTAS) Wellie Henry Majang berkata, ia diluluskan tepat pada masa tanpa perlu ada sebarang ugutan daripada mana-mana pihak.

Katanya ia adalah bagi mengelakkan sistem demokrasi di negeri ini terus dicemari susulan tindakan wakil rakyat melompat parti.

Pengasas dan Penasihat Persatuan Pemikir Dayak Sarawak (DTTAS) Wellie Henry Majang.

“Jika tidak diluluskan, ia mencemarkan sistem demokrasi yang ada. Mandat rakyat yang diberikan kepada seseorang itu tidak harus dikhianati dengan lompat sana sini,” katanya ketika dihubungi Suara Sarawak, hari ini.

Menjelas lanjut, beliau berkata RUU Anti Lompat Parti ini digubal bukan untuk menghalang proses demokrasi dalam kalangan ahli politik, sebaliknya untuk mengelakkan kemudaratan kepada negeri Sarawak khususnya dari sudut ekonomi.

“Apa lagi apabila seluruh rakyat Sarawak telah menjadi mangsa pengkhianatan wakil rakyat mereka yang melompat…tindakan mereka itu telah menyebabkan kita mengalami ketidakstabilan politik yang memudaratkan ekonomi dan pembangunannya,” tambahnya.

Justeru beliau menyeru agar RUU ini disegerakan dan dilaksanakan bagi mengekang wakil rakyat daripada lompat parti.

Dalam masa yang sama beliau mengucapkan tahniah kepada kerajaan Sarawak di atas Kelulusan RUU Anti Lompat Parti ini.

DUN Sarawak hari meluluskan RUU Perlembagaan Negeri Sarawak (Pindaan) (No.2) 2022 bagi melarang wakil rakyat yang dipilih, melompat parti.

RUU berkenaan yang dibentangkan Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63, Hubungan Negeri-Persekutuan), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali disokong 77 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun).

Suara Sarawak