BIARPUN bapanya pernah menguasai kerusi Parlimen Saratok selama dua penggal, ia bukan bermakna mudah bagi pendatang baharu, Roderick Wong Siew Lead, 32, untuk mencipta kemenangan di kerusi tersebut pada 19 November ini.

Ia diakui sendiri lulusan sarjana Pentadbiran Perniagaan Unimas ini.

Katanya, pada 2018, beliau menjadi ejen pilihan raya untuk bapanya, dan merasai sendiri pengalaman “berperang” ketika pilihan raya.

Dan kali ini, beliau sendiri yang menjadi calon, dan berharap pengalaman tersebut dapat digunakan sebaik mungkin, apatah lagi beliau menentang individu yang sama.

“Pada 2018, kami merasai tekanan berhadapan Datuk Seri Huang Tiong Sii yang memiliki jentera hebat dan kewangan yang luar biasa.

“Kami sudah terfikirkan kekalahan, namun ketika hari mengundi tiba, kami dapat merasai aura kemenangan, hingga bapa saya memperoleh majoriti sehingga 2,570 undi,” katanya.

Roderick merupakan muka baharu yang disuntik Parti Tindakan Demokratik (DAP) dalam pilihan raya kali ini.

Beliau merupakan anak kepada mantan Ahli Parlimen Sarikei, Wong Ling Biu, yang mengambil keputusan bersara pada usia 64 tahun.

Ling Biu pernah didiagnosis positif Covid-19, menyebabkan beliau berada dalam keadaan koma lebih dari sebulan.

Malah katanya, ramai yang menjangkakan bapanya akan mati.

“Semangat dan kekuatan bapa untuk meneruskan kehidupan ketika itu, menjadi dorongan dan motivasi kepada saya untuk bersetuju menjadi calon.

Dan ini yang saya gunakan pada pilihan raya kali ini. Beliau mentor saya dan saya akan terus belajar daripada beliau,” ujarnya Roderick.

Roderick sebenarnya sedar bahawa misinya kali ini agak sukar, biarpun bertegas menggenggam track record bapanya sebagai ahli parlimen selama dua penggal di kawasan itu.

Beliau memahami bahawa Tiong Sii bukan calon sembarangan.

Tiong Sii merupakan ahli perniagaan terkemuka, selain menjawat Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Repok.

Ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak pada Disember lalu, Tiong Sii meratah mudah lawan-lawannya apabila mengutip 10,038 undi berbanding lawan terdekat, Philip Wong Pack Ming (DAP) yang sekadar membawa pulang 2,730 undi.

Pada kali ini, kawasan Dun ini mempunyai 31,085 undi. Selain itu, di satu lagi kerusi di Parlimen Sarikei; Dun Meradong; GPS/SUPP yang diwakili Ding Kuong Hiing turut menang besar.

Beliau memperoleh 6,827 undi bagi menewaskan pencabar terdekat, Chris Hi Ru Yee (PSB) yang membawa pulang 3,465 undi. Kali ini kawasan tersebut memiliki 23,893 pemilih berdaftar.

Secara keseluruhan, kawasan Parlimen ini memiliki 54,978 pengundi berdaftar, dengan 33,259 daripadanya merupakan pemilih Cina, 16,970 Iban dan 3,677 Melayu/Melanau. Di atas kertas, penampilan kali kedua, Tiong Sii ini sebenarnya lebih berbisa, kerana beliau sudah mempelajari dan memahami akan punca kekalahannya pada pilihan raya lalu.

Kerana itu, lelaki Cina yang fasih berbahasa Iban, serta mampu menjiwai watak kemiskinan, kerana pernah hidup tanpa kasut dan berjalan kaki berbatu-batu ke sekolah di Bintangor, telah bermula lebih awal.

Beliau turun padang seawal hari pertama kempen, dengan menghabiskan sekitar 15 ke 20 minit di setiap rumah panjang yang dilalui, bagi merayu undi. Malah berdasarkan maklumat setempat, ini bukan kunjungan pertama beliau dalam tempoh lima tahun, kerana sejak menjadi Adun Repok, beliau mengamalkan dasar pintu terbuka.

Beliau akan turun padang dan mengunjungi kawasan tanpa mengira masa, dan tidak lokek membantu sesiapa sahaja yang memerlukan.

Dalam siri kempen kali ini, beliau merayu agar diberi peluang untuk memimpin kawasan Parlimen itu untuk tempoh lima tahun.

Jika gagal tegasnya, beliau sedia untuk disingkirkan, dan beliau akan akur kepada kehendak rakyat.

Rayuan ini didengar sendiri oleh penulis dilafaz Tiong Sii dalam bahasa Iban yang fasih.

“Saya merasai derita dan kemiskinan yang dialami oleh rakyat di kawasan ini selama ini. Kerana itu saya berjuang untuk mereka. Saya tidak mahu mereka terus berhadapan situasi ini (miskin dan hidup susah), seperti yang pernah saya alami dahulu,” katanya kepada penulis kemudian.

Biarpun terdapat pelbagai gelaran dan tafsiran terhadap lelaki ini di luar sana, Tiong Sii sebenarnya cuba membuktikan bahawa beliau mampu menukar kawasan ini, terutama dari sudut ekonomi penduduknya.

Beliau telah membuktikan melalui transformasi yang berlaku kepada dirinya, justeru impiannya adalah untuk mengubah rakyat di kawasan ini.

Ini yang diluahkan melalui manifesto peribadinya.

Bagi Roderick, ia seharusnya perkhabaran yang menakutkan. Roderick sendiri mengakui cuba menawan pengundi muda melalui media sosial.

Namun, ia sebenarnya tidak cukup, jika beliau tidak turun padang. Biar masih muda dan kekok, lidahnya harus fasih untuk menuturkan bahasa tempatan, kerana ia merupakan senjata berbisa untuk mendekati rakyat di kawasan parlimen ini.

Roderick juga perlu bersedia kerana rakyat sebenarnya menunggu untuk menghamburkan kekecewaan kepada beliau akan kegagalan partinya mentadbir negara selama 22 bulan.

Beliau yang mengakui kecewa dengan tindakan “rampas kuasa” yang berlaku, namun percaya, ia adalah proses politik dan demokrasi ala Malaysia yang perlu dilalui.

Peluang untuk menang dan menjadi Ahli Parlimen Sarikei sebenarnya masih seimbang bagi kedua-dua calon.

Mereka perlu turun padang dan menyantuni seluruh pengundi; jika boleh sehingga 50,000 pemilih yang berdaftar kerana situasi terkini, tarungan kedua-duanya adalah sengit.

Mereka juga perlu menaruh harap kepada pemilih tempatan yang berada di luar agar pulang mengundi.

Namun berbanding 2018, profil pengundi luar kini sebenarnya agak berbeza dan sukar ditebak.

Ini kerana mereka semakin bijak, terdedah kepada maklumat dan mampu membuat keputusan sendiri; tidak semestinya terpengaruh oleh logo parti dan calon.

Dan, yang paling penting, sejarah kepimpinan adalah penting, kerana ia akan menjadi faktor terakhir untuk dinilai, kerana rakyat di negara ini tidak lagi mahu ditipu, dengan kebanjiran pemimpin yang hanya sembang kencang

Suara Sarawak