MUKAH: Seorang warga emas berusia 74 tahun tidak melepas tanggungjawab mengundi dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) walaupun mengalami masalah di bahagian kaki kiri.

Niliah Paie berkata, mengundi merupakan kewajipan dan ia perlu dilunaskan pada hari yang ditetapkan.

“Kalau tidak kita pergi mengundi, siapa lagi yang hendak membantu negara dalam memastikan kerajaan stabil dapat dibentuk,” katanya yang mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) St Patrick Mukah hari ini.

Warga emas yang berasal dari Kampung Kuala Lama Mukah itu dilihat gigih melangkah walaupun langkahnya tidak gagah seperti anak muda.

Menurutnya, masalah di bahagian kaki bukan alasan untuk dia tidak turutn mengundi.

“Dulu sayang bekerja sebagai atendan kesihatan namun saya bersama-sama kakitangan lain terlibat dalam kemalangan.

“Ia menyebabkan saya mengalami kecederaan di bahagian kaki,” ujarnya.

Dia menasihati pengundi muda supaya turun mengundi.

“Anak muda yang masih cergas perlu turun menunaikan tanggungjawab,” jelasnya.

Suara Sarawak