KUCHING: Kerajaan digesa mengarahkan Saluran Paip Gas Sabah-Sarawak ditutup sementara bagi menjamin keselamatan awam, khususnya penduduk di Lawas.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ba’Kelalan, Baru Bian berkata penutupan perlu dilakukan sehingga pakar antarabangsa bertauliah bebas dibawa masuk untuk membuat pemeriksaan menyeluruh terhadap keseluruhan saluran paip berkenaan, dan laporan mengenainya didedahkan kepada umum.

“Ia tidak sepatutnya dibenarkan beroperasi sehingga kita mendapat jaminan dari aspek keselamatan,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), hari ini.

Gesaan Baru itu dibuat, susulan letupan di Kilometer 32, Saluran Paip Gas Sabah-Sarawak pada 16 November lalu yang mengakibatkan seorang lelaki maut dan dua lagi cedera.

Katanya, ia merupakan insiden kebocoran atau letupan gas yang keenam sejak 2014, dan ia sepatutnya menimbulkan kebimbangan tahap tinggi tentang keselamatan saluran paip itu.

“Saluran paip gas ini yang membantu Petronas mengaut keuntungan berjuta atau berbilion tidak menguntungkan rakyat Lawas yang tinggal dan bekerja di sekitarnya.

“Malah, ia adalah bahaya kepada nyawa dan keselamatan mereka,” katanya.

Baru menambah kebocoran yang membawa kepada letupan itu mungkin berlaku disebabkan oleh pergerakan tanah.

Namun, katanya itu adalah sebab yang paling biasa diberikan oleh Petronas pada setiap kali berlaku kejadian letupan itu.

“Walau apa pun puncanya, kita tidak boleh membiarkan orang kita berdepan risiko kematian dan kecederaan akibat letupan yang berlaku apabila terdapat pergerakan tanah.

“Pergerakan tanah tidak boleh dicegah terutamanya dalam iklim khatulistiwa kita yang panas dan kering, dan kemudian musim hujan,” katanya.

Suara Sarawak