Santiana Ramli dan Ameem mara ke pusingan akhir Getaran Jiwa yang bersiaran secara langsung di Stadium MBKS, Bintawa malam tadi.

KUCHING: Santiana Ramli dan Ameem berjaya mara ke pusingan akhir Konsert Getaran Jiwa selepas mengutip lebih 62 mata sebagai dua peserta terbaik separuh akhir yang bersiaran secara langsung di Stadium MBKS, Bintawa, malam tadi.

Pengurus Saluran TVS, Aizal Ibrahim berkata dua peserta itu masing-masing meraih 62.5 dan 62.3 markah.

Sementara itu, lima peserta yang tidak berjaya ialah Izwan Dahlan (49.2 markah), Nadhar Idruze (48.4 markah), Hasty (50.1 markah), Mady Spuan (50.6 markah) dan Faris Malek (44.0 markah).

Melissa Francis semasa menyanyikan lagu Akai-Akai pada penutup konsert Separuh Akhir 1 Getaran Jiwa.

Konsert minggu ini dimulakan dengan kejutan apabila dua peserta, Ameem dan Faris Malek diserap masuk melalui ‘GJ Kembali’, hasil undian online peminat mereka.

Persembahan setiap peserta dinilai melalui sistem pemarkahan yang terbahagi kepada 70 peratus oleh barisan juri profesional dan 30 peratus juri awam yang mengundi atas talian menggunakan ‘Meter Jiwa’.

Persembahan peserta minggu ini dinilai oleh Dato Nash selaku Ketua Juri serta Norafizah Busman sebagai Juri Tetap dan Fauzi Marzuki selaku juri jemputan.

Turut merancakkan konsert minggu ini adalah penampilan Mas Idayu selaku Mami Panas yang turut memberikan komen mengenai persembahan para peserta.

Nyanyian lagu ‘Akai-Akai’ oleh Melissa Francis menutup tirai konsert Getaran Jiwa minggu ini.

Getaran Jiwa menawarkan hadiah terkumpul sebanyak RM60,000.

 

Suara Sarawak