BURU KEMENANGAN….Pemain Saratok FA bersemangat ketika sesi latihan. – FOTO FAIZAL BUJANG

BETONG: Gergasi serba mantap, Saratok FA sedia untuk mencipta kemenangan apabila turun berdepan Semarang Village United pada perlawanan separuh akhir Kejohanan Bola Sepak Piala Timbalan Premier Sarawak 1, Datuk Amar Douglas Uggah Embas 2022 di Kompleks Sukan Betong petang esok.

Sekali gus, mencetak tiket ke pentas final piala berprestij itu.

Ketua jurulatih Saratok FA, Awang Jobli Awang Bidin memberitahu misi utama mereka hanya satu iaitu mahu memastikan kemenangan untuk layak ke pentas final.

“Ia bukan tugas yang mudah kerana Semarang Village United bukan lawan yang boleh dijinakkan, mereka boleh melakukan kejutan,” ujar Awang Jobli kepada Arena Suara Sarawak.

Menurutnya, beliau tidak mahu berpandu kejayaan menumpaskan Semarang Village United (1-0) pada aksi final Liga Betong 2022 dijadikan ukuran.

Malah percaya kelab yang semakin meningkat naik kredibilitinya itu akan berjuang dengan semangat luar biasa.

“Saya percaya pasukan lawan akan cuba tampil dengan corak permainan berbeza.

“Kami harus berwaspada untuk mengelak sebarang kemungkinan berlaku,” jelas Awang Jobli.

Beliau juga turut mengingatkan pemain agar tidak terlalu santai mengharungi perlawanan petang esok” jelas Awang Jobli lagi.

Perlawanan kedua-dua pasukan terbabit akan bermula pukul 3:00 petang.

Sementara itu, satu lagi perlawanan separuh akhir yang mempertemukan Jang Bukit Saban yang akan menentang Hermanos FC pada Ahad nanti di gelanggang dan waktu yang sama.

Suara Sarawak