KUCHING: Kerajaan Sarawak akan menghantar pakar dari negeri ini ke Samsung Biologics di Korea Selatan untuk belajar dan mengetahui teknologi terkini dalam rawatan kanser.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, syarikat bioteknologi itu juga sedang menjalankan penyelidikan bagi menghasilkan ubat melawan kanser.

BERUCAP… Abang Johari berucap pada Makan Malam Ulang Tahun Ke-6 Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS) di Hotel Hilton, malam tadi.

“Samsung Biologics sedang menjalankan penyelidikan untuk menghasilkan ubat yang secara khusus melawan kanser dengan menyasarkan terus kepada sel kanser, tanpa memusnahkan sel lain.

“Jika ia berjaya, Pusat Kanser Sarawak kelak mungkin akan menggunakan teknik tersebut dalam rawatan kanser.

SIMBOLIK… Abang Johari menyempurnakan simbolik perasmian Makan Malam Ulang Tahun Ke-6 Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS) di Hotel Hilton, dekat sini, malam tadi.

“Justeru, saya akan menghantar doktor dan pakar dari Pusat Penyakit Berjangkit Sarawak (SIDC) diketuai Dr Alan Fong dan Profesor Datuk Dr Andrew Kiyu ke Samsung Biologics untuk belajar mengenai peranti atau mesin terkini bagi menghasilkan ubat berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena perasmian Majlis Makan Malam Ulang Tahun Ke-6 Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS) di Hotel Hilton, dekat sini, malam tadi.

Tambahnya, kompaun untuk menghasilkan ubat itu juga boleh didapati daripada sumber biodiversiti Sarawak sekali gus boleh digunakan untuk membunuh sel-sel kanser.

Suara Sarawak