KUCHING: Kerajaan Sarawak telah memperuntukan dana berjumlah RM100,000 kepada Dewan Usahawan Bumiputera Sarawak (DUBS) cawangan Kuching untuk membeli jentera bagi kegunaan dalam sektor pembinaan.

Justeru Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata dengan peruntukan ini, beliau mencadangkan DUBS mempunyai jentera pembinaan sendiri dan menyewakannya kepada kontraktor lain yang telah dianugerahkan projek.

Beliau berkata kebiasaannya kontraktor dan usahawan Bumiputera tidak mempunyai jentera berat yang diperlukan untuk projek yang dianugerahkan kepada mereka.

Abang Johari (empat kiri) dan isteri (empat kanan) bergambar bersama Presiden DUBS Datuk Abang Helmi Tan Sri Ikhwan (tiga kanan) dan Pengerusi DUBS Cawangan Kuching Kr. Drahman Jaladin (tiga kiri) pada majlis makan malam amal DUBS, malam tadi. (Foto oleh Ramidi Subari)

“Sebagai contoh, semasa saya menjawat jawatan Menteri Perumahan dulu, terdapat satu projek bagi kerja-kerja pemasangan cerucuk di Kampung Bako dan projek itu telah dianugerahkan kepada sebuah syarikat Bumiputera.

“Namun syarikat itu tidak dapat melakukan kerja-kerja cerucuk atas alasan tidak mempunyai jentera untuk melakukannya dan mereka menyerahkannya (kerja) kepada syarikat bukan Bumiputera.  Akhirnya, projek itu tertangguh dan gagal.

“Jadi saya cadangkan supaya DUBS untuk memiliki kemudahan ini dan malam ini saya beri RM100,000 kepada DUBS Kuching,” katanya dalam Majlis Makan Malam Amal DUBS cawangan Kuching yang diadakan di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), malam tadi.

Sehubungan itu, beliau yakin dengan peruntukan yang diberi oleh kerajaan Sarawak kepada DUBS ini  mereka dapat melaksanakan dengan baik seperti mana Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) Sarawak lakukan.

“Dengan ini, tiada lagi isu projek sakit. Sekiranya tidak cukup peruntukkan sedia ada ini, kita akan tambah lagi,” katanya.

Dalam majlis tersebut, turut disampaikan Sijil Penghargaan dan cenderahati kepada penyumbang utama serta penyampaian sumbangan amal daripada DUBS Cawangan Kuching kepada lima agensi.

Antaranya adalah Persatuan Kebajikan Petra Jaya (PKPJ), The Salvation Army, Sarawak Society For The Blind, Rumah Seri Kenangan Kuching dan The National Cancer Society Of Malaysia.

Hadir sama Isteri Premier Sarawak Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah, Presiden DUBS Sarawak Datuk Abang Helmi Tan Sri Ikhwan dan Pengerusi DUBS Cawangan Kuching merangkap Ahli Lembaga Pengarah DUBS Holdings Sdn Bhd dan Ahli Majlis Eksekutif DUBS (MED) Cr. Drahman Jaladin.

Suara Sarawak