KUCHING: Sarawak diunjurkan mengumpul hasil sebanyak RM11.035 bilion bagi tahun 2023, kata Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Katanya ia adalah hasil tertinggi yang pernah diunjurkan setakat ini, mencerminkan pencapaian relatif Kerajaan Sarawak dalam meningkatkan tabung negeri.

Menjelas lanjut, beliau berkata sumber utama pendapatan diperoleh daripada hasil cukai berjumlah RM5.246 bilion atau 48 peratus daripada jumlah hasil yang dijangkakan pada 2023.

“Ia terdiri daripada RM4.195 bilion daripada Cukai Jualan Negeri dengan RM3.2 bilion daripada minyak mentah, gas asli cecair dan produk petroleum lain, RM850 juta daripada minyak sawit mentah dan minyak isirong sawit mentah, RM60 juta daripada loteri, RM60 juta daripada produk aluminium, RM22 juta daripada arang batu manakala baki RM3 juta daripada tayar,” katanya.

Beliau menyatakan demikian ketika membentangkan Belanjawan Sarawak 2023 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), di sini hari ini.

Selain itu, katanya adalah RM550 juta daripada royalti air mentah, RM287 juta daripada royalti hutan, premium kayu dan tarif dan RM214 juta daripada royalti perlombongan, sewa tanah dan lain-lain.

Manakala, Abang Johari berkata hasil bukan cukai dianggarkan berjumlah RM5.498 bilion atau 50 peratus, yang diperoleh daripada sumber utama seperti RM2.335 bilion daripada pampasan tunai sebagai ganti hak minyak dan gas dan RM1.864 bilion daripada pendapatan dividen.

Beliau menambah RM650 juta daripada pendapatan faedah, RM400 juta daripada premium tanah, RM120 juta daripada pampasan tunai sebagai ganti duti import dan eksais ke atas produk petroleum dan RM129 juta daripada pihak lain termasuk lesen, yuran perkhidmatan, permit dan sewa.

Dalam pada itu, Abang Johari berkata terimaan bukan hasil, yang dijangka berjumlah RM26 juta diperolehi terutama daripada deposit tidak dituntut, lebihan bayaran diperoleh semula, ganti rugi dan penalti yang dicairkan, ganti rugi hutan dicairkan, kompaun lain dan pelupusan kenderaan.

Katanya ia termasuk pemberian dan bayaran balik Persekutuan yang dijangka berjumlah RM265 juta.

Suara Sarawak