KUCHING: Sarawak akan rugi sekiranya Gabungan Parti Sarawak (GPS) tidak menyertai mana-mana gabungan parti di Semenanjung Malaysia untuk membentuk Kerajaan Persekutuan, kata penganalisis politik Profesor Dr Neilson Ilan Mersat.

Katanya tanpa mengira mana-mana gabungan, penglibatan GPS dalam pembentukan Kerajaan Persekutuan sangat penting agar hak dan kepentingan Sarawak terus diperjuangkan.

“Sudah pasti kerajaan gabungan akan tertubuh tapi GPS mesti menyertainya, kalau tidak rugilah kita tidak menyertai peringkat persekutuan.

“Itu penting sebab rakyat Sarawak menyokong GPS bagi memberi isyarat jelas kepada Putrajaya bahawa Sarawak serius mahu mengembalikan hak dalam Perjanjian Malaysia 1963 (1963),” katanya yang dihubungi, hari ini.

Profesor Dr Neilson Ilan Mersat

Neilson juga percaya bahawa semua gabungan parti di Semenanjung Malaysia akan melamar GPS untuk membentuk Kerajaan Persekutuan, sekali gus sekali lagi menjadikan gabungan parti tempatan Sarawak itu sebagai kuasa penentu.

Justeru, katanya peluang itu harus dimanfaatkan oleh GPS untuk terus memperjuangkan tuntutan khususnya dalam MA63 serta perkara-perkara lain yang membawa kemajuan dan pembangunan kepada Sarawak.

“Maka itu, mereka (GPS) perlu menjadi sebahagian daripada gabungan, tidak kira siapa yang membentuk kerajaan nanti,” katanya.

Sementara mengulas mengenai keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) di Sarawak, Neilson berkata meskipun sokongan kepada GPS meningkat dengan memenangi 23 kerusi berbanding hanya 18 kerusi pada PRU-14, namun ia masih gagal mendapat sokongan daripada pengundi di kawasan bandar.

Katanya situasi itu sekali gus menyaksikan kawasan bandar kekal menjadi kubu kuat Parti Tindakan Demokratik (DAP), walaupun ia hilang sebuah kerusi iaitu Parlimen Sarikei yang dimenangi oleh calon GPS-SUPP, Datuk Seri Huang Tiong Sii.

Selain itu, katanya kedudukan Parti Rakyat Sarawak (PRS) juga agak terjejas setelah Presiden mereka, Datuk Joseph Salang tewas di Parlimen Julau manakala kerusi-kerusi lain yang dimenangi juga hanya memperoleh majoriti yang sikit.

“Itu petunjuk bahawa mereka perlu melakukan sesuatu untuk menyatukan serta mengukuhkan parti bagi pilihan raya akan datang,” katanya.

Manakala, Neilson menyifatkan kemenangan calon Perikatan Nasional (PN), Datuk Ali Biju di Parlimen Saratok sebagai luar biasa, apabila beliau bukan sahaja menewaskan calon GPS malah memperolehi majoriti yang besar.

Beliau menambah begitu juga di Parlimen Mas Gading, yang menyaksikan calon GPS, Lidang Disen gagal merampas kerusi itu daripada penyandang yang juga calon DAP, Mordi Bimol meskipun Lidang dibantu dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) iaitu ADUN Tasik Biru Datuk Henry Jinep dan ADUN Opar Billy Sujang.

“Sebab itu, faktor calon sangat penting di luar bandar dan dicampur dengan Undi18, yang turut memainkan peranan,” katanya.

Suara Sarawak