KUCHING: Sarawak melakar sejarah tersendiri apabila berjaya menerbitkan jilid jurnal akademik pertama antarabangsa berkaitan acara perniagaan dan warisan.

Terbitan pertama berjudul ‘International Journal of Business Events and Legacies’ (IJBEL) itu mengandungi enam kertas akademik, empat kertas industri dan satu nota khas mengenai topik hangat.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, objektif terasnya adalah untuk menangani isu melalui kajian kes, penyelidikan dan pandangan mengenai topik seperti perancangan dan penyampaian acara, dan strategi yang diguna pakai oleh sektor yang saling berkaitan seperti hospitaliti, pelancongan dan ekonomi.

“Ia termasuk keberkesanan acara hibrid; menguruskan acara mampan di destinasi bandar; menganjurkan acara perniagaan semasa krisis; mengoptimumkan e Pelancongan dan e-Marketplaces untuk acara perniagaan, dan pendekatan warisan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan IJBEL di pejabatnya di Bangunan Baitulmakmur 2 di sini, hari ini.

Bercakap mengenai nilai IJBEL, kata Abdul Karim ia mempunyai nilai penting kepada Sarawak yang dilihat dapat membantu Kerajaan Sarawak mencapai beberapa pelan jangka panjang menerusi Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 (PCDS2030).

Suara Sarawak