Sarawak tuan rumah Miss Tourism International 2022
CANTIK…Hii Chang Kee (duduk tengah) bersama 40 ratu cantik dari negara luar yang akan ke finalis Miss Tourism International 2022 yang diadakan di Kuching

KUCHING: Seramai 40 ratu cantik dari seluruh negara bakal berentap di pentas final temasya Miss Tourism International 2022 yang diadakan di pusat bandaraya Kuching.

Acara bertaraf dunia itu sudah bermula sejak 11 hingga 27 November dengan malam kemuncak diadakan pada 25 November di Hotel dan Pusat Konvensyen RAIA, Kuching.

Setiausaha Tetap Pelancongan, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak, Hii Chang Kee berkata, pemilihan Sarawak selaku tuan rumah kali ini amat bertepatan kerana bumi kenyalang antara negeri yang kaya dengan warisan budaya, masyarakat berbilang bangsa, terbuka menerima kunjungan daripada warga luar dan hidup secara harmoni.

“Sarawak sememangnya lokasi sesuai dalam melaksanakan penganjuran acara ini yang mana secara tidak langsung mempromosikan persahabatan, budaya dan pelancongan.

“Sudah pasti harapan kita supaya penganjuran acara ini memberi kesan kepada para peserta untuk mengunjungi semula Kuching mahupun Sarawak sebagai destinasi pilihan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam majlis perasmian program terbabit bagi mewakili Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah di Hotel Raia di sini, hari ini.

Justeru katanya, beliau mengalu-alukan kehadiran kesemua peserta dalam acara berprestij ini.

Katanya, biarpun jangkaan adalah seramai 50 wakil dari seluruh negara, namun terdapat beberapa kekangan dalam memastikan ketibaan dan penyertaan berikutan prosedur transit, isu penerbangan dan keadaan tidak dijangka.

Suara Sarawak