KUCHING: Sarawak akan menumpukan pada peningkatan Unit Berprestasi Tinggi pada tahun akan datang dengan peralatan yang sesuai dan terkini, kakitangan berkelayakan dan menaik taraf perkhidmatan sains sukan sebagai pendekatan untuk melengkapkan atlet dengan baik.

Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata untuk memberikan lebih kefahaman dan keberkesanan dalam kalangan atlet, pihak perkhidmatan berprestasi tinggi akan memberi penekanan ke atas Program Elit Senior atlet iaitu memberi tumpuan seawal mungkin dalam program pembangunan atlet.

“Ini akan memberi kelebihan kepada atlet pembangunan sedia ada kita dan jurulatih untuk lebih dilengkapi dengan cabaran masa depan,” katanya ketika membentangkan ucapan penggulungan Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan sempena persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), hari ini.

Karim bersama-sama dua timbalan, Datuk Gerald Rentap Jabu (dua kanan) dan Ripin Lamat (kanan) melihat dokumen ucapan pembentangan Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan sempena persidangan DUN, hari ini.

Selain itu, beliau berkata dalam menyediakan Sarawak untuk Sukan Malaysia (SUKMA) 2024, kementeriannya melalui Perbadanan Sukan Sarawak (SSC) telah membangunkan program yang lebih agresif dan istimewa untuk memberi tumpuan kepada atlet terpilih.

“Program ini akan menyediakan jurulatih yang berkelayakan dan berpengalaman serta program latihan strategik untuk melahirkan atlet pelapis yang berkualiti,” katanya.

Karim menambah inisiatif lain ialah mempergiatkan pangkalan dengan membuka lebih banyak pusat Program Elit Permulaan (PEP).

Katanya fokus pusat-pusat itu adalah untuk mengenal pasti kumpulan atlet berbakat yang belum diterokai.

“Pusat-pusat ini bukan sahaja di kawasan bandar tetapi juga di kawasan luar bandar seperti di Kapit, Baram, Belaga, Betong, Daro, Lubuk Antu dan Gedong, di mana atlet-atlet yang berbakat boleh ditemui,” katanya.

Dalam pada itu, Karim berkata kementeriannya juga memulakan kebajikan atlet, dengan mereka boleh melanjutkan pelajaran di universiti dan kolej tempatan dan luar negara tanpa mengganggu program latihan sukan mereka.

“Ini akan memberi jaminan kepada atlet bahawa hala tuju mereka tidak akan terjejas dalam mencapai matlamat peribadi mereka dan visi sukan kita.

“Ini juga akan memberikan tahap keyakinan tambahan kepada ibu bapa dalam menyokong kerjaya sukan dan kelayakan akademik,” katanya.

Menurutnya sebanyak 69 daripada bekas atlet Sarawak telah terlibat dalam program bimbingan masa depan dengan SSC dan negeri-negeri lain di Malaysia.

Manakala, katanya 26 daripada bekas atlet Sarawak telah diterima bekerja dengan syarikat tempatan.

“Bagi atlet yang melanjutkan pelajaran, kementerian saya telah membantu 180 atlet di universiti tempatan,” katanya.

Suara Sarawak