KUALA LUMPUR: Presiden Sarawak United FC (SU FC), Datuk Posa Majais menegaskan, tiada halangan bagi pihaknya jika pemain ingin ‘angkat kaki’ dari terus kekal bersama pasukan itu untuk saingan musim depan.

Menurut beliau, keputusan berhubung perkara itu terletak ditangan pemain itu sendiri.

“Kita tidak menghalang jika pemain import mahupun tempatan yang mahu berhijrah ke pasukan lain musim depan.

TIADA HALANGAN…Datuk Posa Majais.

“Itu keputusan mereka, malah tiada hak untuk kami menghalang kemahuan pemain terbabit andaikata itu yang mereka mahukan,” ujar Posa kepada Arena Suara Sarawak.

Tambah beliau, pasti ramai pemain yang mahu mencari pasukan lain dengan mengambil kira status Sarawak United yang akan beraksi dalam kancah Liga Divisyen II musim depan.

Posa menjelaskan, pihaknya juga tidak akan melanjut kontrak semua pemain import yang ada dalam pasukan itu.

Sekali gus, ia memberi bayangan Sarawak United akan menggunakan kudrat pemain tempatan sepenuhnya musim depan.

Suara Sarawak